Jihad kecil dan ilmu perlu seiring

Seorang lelaki berjalan melalui bangunan yang musnah dibedil tentera Israel di Gaza. - Foto Xinhua
Seorang lelaki berjalan melalui bangunan yang musnah dibedil tentera Israel di Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

KETIKA artikel ini ditulis, angka korban akibat perang antara Israel dan Hamas di Gaza, Palestin sudah melepasi 11,000 mangsa termasuk lebih 4,000 kanak-kanak dan warga emas. Lebih 27,000 penduduk Palestin pula dilaporkan cedera.

Jika dihitung, jumlah mangsa akibat kegilaan rejim Zionis itu telah memenuhi ruangan Axiata Arena Bukit Jalil di Kuala Lumpur yang turut menjadi lokasi Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin, Oktober lalu.

Di sebalik pelbagai usaha dijalankan banyak pihak, antaranya persetujuan terhadap resolusi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza oleh 120 negara termasuk Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini, tindakan berhimpun membantah kekejaman Israel oleh masyarakat dunia harus dipuji.

Malah, boleh dilihat sifat kemanusiaan itu sendiri berjaya menghimpunkan rakyat pelbagai negara termasuk Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk bersolidariti, berhimpun, melaungkan ‘Bebaskan Palestin’ serta ‘Hentikan genosid di Gaza’ membuka mata pemimpin dunia mengenai tindakan ‘anak buah’ Benjamin Netanyahu.

Dunia tidak boleh terus berdiam diri apabila hospital yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kini berubah menjadi medan kematian dan kebinasaan.

Melihat kepada situasi tersebut, Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab dan Negara Islam telah meluluskan ketetapan menuntut Israel menamatkan keganasan ke atas Semenanjung Gaza serta-merta, selain menolak tindakan melancarkan perang atas sebab mempertahankan diri atau bagi mewajarkannya atas apa juga alasan.

Itu antara jihad serta tanggungjawab pemimpin Islam seluruh dunia yang mempunyai kuasa serta cara untuk terus menekan Israel daripada melancarkan serangan terhadap Palestin.

Namun, bagaimana pula tanggungjawab kita sebagai umat Islam di negara ini?

Artikel Berkaitan:

Walaupun tidak berupaya untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis, setidak-tidaknya kita boleh melaksanakan jihad kecil seperti melancarkan kempen boikot barangan atau jenama antarabangsa yang menyokong kekejaman mereka.

Sekiranya kita melihat tindakan memboikot hanya sia-sia, itu adalah satu kesilapan kerana usaha ini mampu menjejaskan ekonomi Israel dan negara yang menyokongnya, berdasarkan laporan ekonomi antarabangsa baru-baru ini.

Oleh itu, sebenarnya, antara sedar atau tidak, banyak manfaat memboikot produk daripada negara berkenaan, malah kewujudan produk tempatan mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Bukan itu sahaja, kualitinya pula setanding, malah ada yang lebih baik berbanding jenama antarabangsa.

Di media sosial misalnya, semakin ramai yang berkongsi mengenai produk tempatan yang suatu ketika dahulu ‘tenggelam’ kerana peredaran zaman.

Waktu seperti inilah sepatutnya digunakan oleh pengusaha tempatan untuk mempromosikan produk mereka agar lebih dikenali.

Gunakan sebaiknya platform digital, berilah tawaran terbaik khususnya kepada pelanggan yang ketika ini sedang beralih kepada produk buatan Malaysia khususnya keluaran Muslim.

Namun, dalam kita berjihad untuk terus menyingkirkan produk antarabangsa khususnya yang menyokong Israel, harus ambil berat pesanan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau mengingatkan agar tindakan memboikot perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganiayai syarikat yang tidak berperanan memberi sumbangan kepada Israel.

Manakan tidak, banyak restoran makanan segera terkemuka mula mendapat tempias akibat gerakan boikot oleh rakyat Malaysia. Dalam masa sama kakitangan mereka yang beragama Islam turut menjadi mangsa, malah ada yang mendapat tempias kata-kata kesat hanya kerana bekerja di syarikat terlibat.

Di sebalik keterujaan kita untuk memboikot, jangan pula kita keterlaluan menghukum pekerja yang hanya mencari rezeki di situ.

Walaupun memboikot ekonomi Israel harus dibuat secara konsisten, tindakan berkenaan perlu dilakukan dengan ilmu.

Diharapkan agar kita semua menjalankan tanggungjawab jihad kecil ini dengan sebaik mungkin. Jangan hanya pentingkan diri sendiri, jenguk-jenguklah mereka yang terkena tempiasnya.

Semoga kita terus istiqamah dalam perjuangan kecil ini dan panjatkan doa agar bumi Palestin kembali bugar.

* Diana Azis ialah Wartawan Sinar Harian