MB Selangor janji bangunkan semula penempatan lama

Amirudin hadir pada ceramah diadakan di Rumah Pangsa PKNS AU2 atau dikenali Flat Colombia dekat sini baru-baru ini.
Amirudin hadir pada ceramah diadakan di Rumah Pangsa PKNS AU2 atau dikenali Flat Colombia dekat sini baru-baru ini.
A
A
A

HULU KELANG - Kerajaan negeri akan membangunkan semula penempatan yang telah didirikan pada tahun 70-an dan 80-an ke kediaman lebih selesa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perancangan itu membabitkan kawasan pangsapuri seperti di Rumah Pangsa PKNS AU2 yang dikenali Flat Colombia serta beberapa kawasan lain di Selangor.

Menurutnya, agenda itu menjadi tumpuannya jika rakyat memberi mandat sekali lagi untuk PH-BN mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Beliau berkata, hasrat itu mampu dilaksanakan susulan pentadbiran negeri dan pusat dipimpin oleh parti sama iaitu PH-BN.

"Kali ini kerajaan negeri dan pusat dipimpin parti sama. KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan PM (Perdana Menteri) akan bantu.

"Jika sekali lagi kita diberi amanah di peringakt negeri, sesegera mungkin dan pada tahun pertama saya akan turun untuk bangun semula rumah yang lebih selesa untuk penduduk," katanya pada ceramah diadakan di Rumah Pangsa PKNS AU2 atau dikenali Flat Colombia di sini baru-baru ini.

Ujarnya, cadangan pembangunan semula itu membabitkan kediaman dua ke tiga bilik membabitkan kawasan apartmen atau rumah pangsa lama.

" ni bukan janji palsu kerana saya pernah buat di tempat lain. Saya yakin ia boleh dilakukan kerana Kerajaan Perpaduan yang dibentuk kini.

"Tetapi jika rakyat ubah kerajaan kerana untuk suka-suka atau ikut emosi, akhirnya kita akan ulangi sejarah lampau yang kita tak boleh buat apa-apa yang dirancang," jelasnya.