Pengerusi jawatankuasa PPS disyaki terlibat tuntutan palsu dana banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pengerusi jawatankuasa pusat pemindahan sementara (PPS) kerana disyaki memperakui borang bantuan bencana banjir yang mengandungi butir matan palsu pada 2022.

Menurut sumber, suspek lelaki berumur lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Sumber memaklumkan borang terbabit adalah berkaitan maklumat ketua isi rumah atas nama anak kandungnya sendiri bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 yang sebenarnya tidak layak menerima bantuan itu.

BWI merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya selesai diambil,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: