Separuh daripada 37,380 graduan rancang cari kerja luar Malaysia

Tinjauan ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers Survey’ mendapati sebanyak 56 peratus daripada 37,380 responden merancang untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara selepas tamat pengajian. (Foto Bernama) - Gambar kecil: Isaac Hee
Tinjauan ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers Survey’ mendapati sebanyak 56 peratus daripada 37,380 responden merancang untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara selepas tamat pengajian. (Foto Bernama) - Gambar kecil: Isaac Hee
A
A
A

SHAH ALAM - Penemuan utama bagi tinjauan ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers Survey’ tahun ini mendapati sebanyak 56 peratus daripada 37,380 responden merancang untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara selepas tamat pengajian.

Pengarah Urusan di GTI Media Malaysia, Isaac Hee berkata, dapatan itu menunjukkan fenomena ‘brain drain’ atau penghijrahan individu berkemahiran tinggi yang berterusan dalam kalangan graduan tempatan daripada pasaran pekerjaan Malaysia.

“Apabila ditanya tentang faktor yang mempengaruhi keputusan mereka untuk bekerja di luar negara, seramai 81 peratus daripada responden menyatakan peluang pembangunan kerjaya di luar negara lebih baik.

“Data ini membuktikan kebimbangan graduan mengenai kekurangan pembangunan kerjaya ke arah lebih baik dalam pasaran pekerjaan tempatan.

"Dengan kata lain, mereka tidak nampak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang mencukupi dalam pasaran tempatan atau mereka melihat had maksimum untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang dipilih," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tinjauan tersebut disertai oleh pelajar dan graduan daripada 175 universiti awam, swasta dan luar negara yang dijalankan bermula Januari hingga September 2023.

Tambah Isaac Hee, perubahan ketara yang berlaku pada tahun ini ialah responden meletakkan gaji dan imbuhan sebagai faktor kedua paling penting semasa memilih majikan.

Menurutnya, keberanian graduan menyatakan secara terbuka mengenai kepentingan gaji menunjukkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

"Graduan sewajarnya memberi keutamaan kepada keperluan material apabila menilai bakal majikan yang berpotensi.

"Memastikan gaji mencukupi untuk sara hidup sebagai graduan telah terbukti memberikan kesan positif terhadap penggunaan atau pembelian domestik dan merupakan faktor utama dalam membendung fenomena ‘brain drain’,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Isaac Hee berkata, kemajuan dalam pasaran dilihat memberangsangkan apabila jawatan bertaraf graduan mempunyai hak sah untuk menerima gaji lebih masa bermula 2023.

Justeru, beliau menggesa supaya graduan menyelidik dan memahami hak mereka serta skala gaji yang adil dalam industri pilihan sambil mempraktikkan perundingan secara kolektif apabila berunding dengan bakal majikan.

Dalam pada itu, menerusi penyampaian anugerah bagi tinjauan ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers’, Maybank berjaya meraih senarai majikan paling popular dalam kalangan pelajar dan graduan tempatan untuk bekerja pada 2023.

Ia merupakan kali keenam syarikat itu mengungguli tempat pertama dan berjaya mengekalkan kedudukan teratas dalam kategori perbankan serta perkhidmatan kewangan.

Sementara itu, tempat kedua pula disandang oleh Petronas manakala, firma perakaunan dan perkhidmatan profesional, KPMG melonjak ke tangga ketiga dan buat pertama kalinya tersenarai dalam kedudukan tiga teratas sebagai majikan tempatan paling popular.