[VIDEO] Tiga warga Indonesia didakwa seludup migran

A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan penyeludupan 26 migran, 4 November lalu.

Tertuduh, Dani, 38, Umar Bakri Ramli, 48, dan Rizal, 31, didakwa secara bersama melakukan penyeludupan migran 26 warga asing di kedudukan garis lintang 02 darjah 22.80 minit utara dan garis bujur 101 darjah 42.97 minit timur dalam perairan Malaysia pada jarak 9.6 batu nautika dengan daratan terhampir Port Dickson.

Dani (dua dari kiri), Umar Bakri (dua dari kanan) dan Rizal (kanan) diiring pegawai Maritim ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan melakukan penyeludupan 26 migran, 4 November lalu.
Dani (dua dari kiri), Umar Bakri (dua dari kanan) dan Rizal (kanan) diiring pegawai Maritim ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan melakukan penyeludupan 26 migran, 4 November lalu.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 November 2023, lebih kurang jam 12.20 pagi di sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran.

Berikutan itu mereka didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Migran 2007(Akta 670) yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Semua tertuduh mengaku faham pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah menetapkan 26 Disember untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.