India Muslim Malaysia bantah pelaksanaan CAA

Syed Jamarulkhan (lima dari kanan) menyerahkan memorandum bantah CAA yang diterima Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Archana Nair.
Syed Jamarulkhan (lima dari kanan) menyerahkan memorandum bantah CAA yang diterima Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Archana Nair.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 badan bukan kerajaan (NGO) India Muslim Malaysia menghantar memorandum membantah Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) di Pesuruhjaya Tinggi India di Mont Kiara di sini hari ini.

Antaranya Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (Mimcoin), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Liga Muslim Pulau Pinang, Gabungan Persatuan Malabari Malaysia dan Persatuan Sahabat India Muslim Selangor dan Kuala Lumpur.

Presiden Mimcoin, Datuk Syed Jamarulkhan MS Kadir berkata, memorandum itu mendesak kerajaan India tidak mengguna pakai undang-undang yang bersifat rasis dan diskriminasi agama.

Menurutnya, memorandum itu juga mewakili suara umat Islam di Malaysia dan dunia yang tidak berpuas hati dengan enakmen yang meminggirkan rakyat Islam di India.

"Enakmen CAA itu mengenepikan hak kerakyatan orang Islam dan bertentangan dengan prinsip India sebagai sebuah negara sekular yang mengamalkan sistem demokrasi.

"Kami harap kerajaan India dapat menggubal undang-undang yang adil kepada semua rakyatnya. Semua rakyat mempunyai hak yang sama dan perlu dilayan sama-rata," katanya selepas penyerahan memorandum itu hari ini.

10 wakil NGO India Muslim Malaysia menyerahkan memorandum bantah CAA di Pesuruhjaya Tinggi India di Mont Kiara hari ini.
10 wakil NGO India Muslim Malaysia menyerahkan memorandum bantah CAA di Pesuruhjaya Tinggi India di Mont Kiara hari ini.

Kumpulan NGO itu diketuai Syed Jamarulkhan menyerahkan memorandum bantah CAA yang diterima Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Archana Nair.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Disember lalu, kerajaan India meluluskan rang undang-undang CAA yang membuka laluan kerakyatan kepada pelarian bukan Islam dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan.

ARTIKEL BERKAITAN: India panggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bantah kenyataan Tun M

Syed Jamarulkhan berkata, perlaksanaan CAA dan ditambah dengan akta Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) akan memberikan kesan mendalam kepada umat Islam.

"Kami sokong jika kerajaan India menyelesaikan isu pelarian secara kemanusiaan bukan berdasarkan latar belakang agama.

"Kalau dicantum NRC dengan CAA, orang Islamlah yang akan mendapat tamparan hebat, sebab jika gagal bukti kewarganegaraan, mereka akan dilabel pelarian walaupun telah berkurun lama tinggal di India," katanya.