Rancangan Selangor Pertama catat pelaburan RM29.1 bilion - MB

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilancar tahun lalu bagi merangka pembangunan negeri menerima komitmen pelaburan sebanyak RM29.1 bilion sehingga kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu melibatkan beberapa projek mega antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Kalau saya ringkaskan sebahagian daripadanya sektor pembuatan iaitu Taman Industri Pintar (NCT) di IDRISS. Ada juga sektor perkhidmatan seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau atau pusat data di Petaling Jaya dengan nilai RM3 bilion.

“Projek pertanian di SABDA libatkan lebih RM60 juta. Ini adalah sektor tumpuan yang ada dalam tawaran setakat ini. Taman aero belum ada komitmen sebab kita sedang bincang hal tanah,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berhubung jumlah 'committed capital' daripada pihak swasta yang telah diperoleh kerajaan bagi merealisasikan pembangunan-pembangunan dalam RS-1 dan apakah persediaan anak-anak syarikat bagi menjamin kemampuan fizikal untuk terlibat sama.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, RS-1 merupakan inisiatif negeri bagi menggerak dan mengembangkan ekonomi melalui 262 projek spesifik yang mempunyai fungsi bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga mencapai keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dengan pengukuhan sosioekonomi rakyat yang berpegang kepada tekad pembangunan mampan.

"Sebagai koordinasi bagi kesemua aspek ini, kerajaan negeri juga memastikan tahap penyampaian dicapai melalui sistem kerajaan yang lebih cekap dan efisyen melalui digitalisasi," katanya.

Artikel Berkaitan: