KPDNHEP digesa selesai isu kenaikan harga bawang

Fared (kanan) bertanyakan sesuatu mengenai perbezaan bawang merah biasa dengan bawang merah siam.
Fared (kanan) bertanyakan sesuatu mengenai perbezaan bawang merah biasa dengan bawang merah siam.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi penjelasan sebenar mengenai kenaikan harga bawang merah yang berlaku di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Sri Dr Fared Abd Ghani berkata, langkah tersebut amat penting supaya masyarakat faham dan tahu apa yang berlaku di sebalik kenaikan harga tersebut.

"Sekarang ini bila kita tanya peniaga, peniaga pun tidak tahu. Sebab peniaga pun ambil dari pemborong. Bila tanya pemborong, mereka pun tidak pasti.

"Sebab itu kami melihat adalah wajar pihak KPDNHEP turun padang dan siasat apa yang berlaku sebenarnya yang menyebabkan kenaikan ini," katanya.

Menurutnya, rakyat hari ini semakin tersepit, mahal atau murah, bawang harus diberi kerana ia merupakan keperluan asas masakan seharian.

"Bila berlakunya kenaikan ini, barangan lain terutamanya makanan akan baik harga juga, ia akan beri kesan secara keseluruhan kepada masyarakat," katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama wakil-wakil PPIK membuat tinjauan penjualan bawang merah di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini.

Fared berkata, tindakan KPDNHEP yang dilihat berdiam diri membuatkan masyarakat buntu dan mahu PPIK majukan perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga, Azman Idris berkata, walaupun berdepan kenaikan harga bawang sehingga tiga kali ganda pembeli masih tetap membelinya tetapi dengan kuantiti yang sedikit.

"Bawang merah satu keperluan, kalau tak beli, macam mana mereka nak masak dan sebagainya. Tapi kita dapat lihat perubahan ketara bila naik harga, pembeli yang biasanya beli sekilo atau lebih akan beli setengah kilo sahaja kali ini.

"Bila tanya kenapa, mereka kata beli sikit ikut keperluan sebab terlalu mahal. Kalau beli banyak, tapi tidak tahan lama, nanti rugi sebab beli mahal.

"Kami sebagai pemborong pun tidak ambil stok yang banyak sebagaimana sebelum ini. Biasanya 100 guni untuk seminggu, tapi sejak naik harga hanya 50 guni sahaja mengikut keperluan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kenaikan harga bawang merah berlaku di negeri ini sejak musim tengkujuh.

Kenaikan tersebut melibatkan sehingga tiga kali ganda iaitu bawang bombay RM2 sekilo dan kini RM6 hingga RM8 sekilo manakala bawang merah siam pula RM12 sekilo berbanding harga biasa RM7 atau RM8 sekilo.