Dong Jiao Zong kena berpijak di bumi nyata: Sri Kandi Bersatu

Zuhuraina
Zuhuraina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sri Kandi Bersatu mengingatkan Dong Jiao Zong yang mewakili Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia supaya berpijak di bumi nyata dalam sesi bantahan mereka terhadap isu pengenalan tulisan Jawi sebagai satu seni tulisan di sekolah vernakular.

Menurut Exco Sri Kandi Bersatu, Zuhuraina Makmur, kenyataan Dong Jiao Zong pada Selasa yang menyatakan bahawa mereka tidak membantah pelaksanaannya dan menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebaliknya mahu mengadakan sesi dialog bersama Kementerian Pendidikan cadangan pelaksanaan tulisan jawi itu sebagai suatu permintaan yang tidak perlu dilayan.

"Saya bersetuju dengan pandangan bahawa pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular sepertimana dititahkan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong iaitu jawi bukan 'Memelayukan bukan Melayu' dan bukan 'Mengislamkan orang bukan Islam'. Ia suatu seni tulisan sebagaimana Cina dan Arab mempunyai seni tulisan mereka sendiri.

"Saya juga menasihatkan Dong Jiao Zong supaya berpijak di bumi nyata kerana sekolah vernakular masih berada di bumi Malaysia di bawah Akta Pendidikan malah turut menerima beberapa bantuan daripada Kerajaan Malaysia.

"Maka seharusnya tiada pertubuhan sekolah Cina yang merasakan ia lebih tinggi kuasanya melebihi peruntukan perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, jelas Zuhuraina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, gesaan Dong Jiao Zong agar ia dibincangkan dalam kongres Cina Sabtu ini dan ingin berdialog dengan Kementerian Pendidikan saya rasakan tidak perlu dibangkitkan langsung.

"Apakah seni tulisan jawi ini terlalu besar seperti isu pencabulan hak asasi dan kemanusiaan yang dilakukan oleh Kerajaan China di Xinjiang atau kekejaman oleh Israel di Palestin?"

"Saya pasti masyarakat Cina di Malaysia sudah biasa hidup dengan tulisan jawi malah selama berdekad papan tanda di Kelantan dan Terengganu menggunakan tulisan jawi. Adakah orang Cina di sana telah menjadi Melayu?

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu itu pelaksanaan seni tulisan jawi di sekolah vernakular tidak seharusnya dibincangkan lagi. Ia mesti dilaksanakan tanpa pertikaian," katanya.

Beliau juga menyeru Kementerian Pendidikan agar tegas dalam setiap pelaksanaan setiap dasar dan polisi yang ditetapkan selagi ianya mendukung prinsip Rukun Negara.

"Seruan saya kepada Dong Jiao Zong agar lebih matang dalam menguruskan budaya yang diperlukan di sekolah vernakular yang berada di bumi Malaysia ini," katanya.