Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka lebih tinggi sedikit hari ini berikutan permintaan yang lemah terhadap dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyusut nilai.

Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7040/7090 berbanding dolar AS daripada 4.7065/7105 pada penutup Jumaat lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin sebagai cuti penggantian perayaan Deepavali yang disambut pada Ahad.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut 1.0 mata asas kepada 4.64 peratus.

Untuk hari ini, beliau berkata tumpuan utama akan diberikan kepada data indeks harga pengguna (CPI) AS yang dijangka menyederhana kepada 3.3 peratus pada Oktober selepas kekal pada 3.7 peratus selama dua bulan berturut-turut.

"Isu utama di sini ialah bilakah Rizab Persekutuan AS (Fed) akan melonggarkan pendirian sekatan mereka kerana inflasi dilihat semakin rendah.

"Ketidakpastian seperti ini akan menyebabkan kadar peningkatan ringgit menjadi tidak sekata selepas pasaran pekerjaan AS yang lemah pada minggu pertama November. Oleh itu, kami menjangkakan MYR/USD akan kekal dalam julat yang sempit hari ini, mungkin sekitar RM4.70," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Nilai ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1002/1037 daripada 3.1072/1101 pada penutupan dagangan Jumaat lepas tetapi susut berbanding euro kepada 5.0328/0382 daripada 5.0232/0275 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7732/7794 daripada 5.7480/7529 sebelumnya.

Namun begitu, mata tempatan lebih kukuh berbanding mata wang Asia yang lain.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.41/8.42, menambah berbanding rupiah Indonesia pada 299.5/300.0 daripada 299.8/300.2 dan tinggi berbanding baht Thai kepada 13.0609/0824 daripada 13.1108/1267 sebelumnya.

Bagaimanapun, nilai ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4604/4643 daripada 3.4599/4631 pada Jumaat minggu lepas. - Bernama