Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menjelang data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS dikeluarkan esok. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menjelang data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS dikeluarkan esok. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menjelang data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS dikeluarkan esok.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5455/5485 berbanding dolar AS daripada 4.5535/5565 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan dolar AS mengalami penurunan, perkara yang menjadi data penting yang perlu diberi tumpuan adalah Indeks ISM AS untuk sektor pembuatan dan Pembayaran Gaji Bukan Ladang (NFP) bagi Julai.

"Indeks ISM dijangka menunjukkan sedikit penurunan kepada 46.5 pada Julai, turun daripada 46.0 sebelum ini.

"Sementara itu, NFP yang dijadual dikeluarkan Jumaat ini diunjurkan pada 184,000, lebih rendah daripada angka sebelumnya iaitu 209,000,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Reserve Bank of Australia dijadual mengumumkan keputusannya mengenai kadar penanda aras faedah esok, dengan pasaran menjangkakan kenaikan 25 mata asas.

"Secara keseluruhannya, ringgit Malaysia diunjurkan diniagakan dalam julat RM4.54 hingga RM4.56 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini berikutan prestasi dolar AS yang kurang stabil,” katanya.

Dalam pada itu, unit tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2265/2289 daripada 3.2691/2715 ketika ditutup pada Jumaat lepas namun susut berbanding euro kepada 5.0105/0138 daripada 4.9966/9998.

Unit tempatan juga turun berbanding pound British kepada 5.8446/8485 daripada 5.8362/8401.

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara Asean yang lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4148/4176 daripada 3.4183/4208 pada Jumaat lepas, lebuh kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 300.8/301.2 daripada 301.4/301.8 dan stabil berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.30 daripada 8.29/8.31.

Walau bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.2878/3036 daripada 13.2058/2218 Jumaat minggu lepas. - Bernama