Konvoi motor besar Awie redah hujan lebih 200km demi Palestin

Awie (berdiri, lima dari kanan) bersama tetamu jemputan dan peserta konvoi merakam kenangan sempena program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, Perak pada Isnin.
Awie (berdiri, lima dari kanan) bersama tetamu jemputan dan peserta konvoi merakam kenangan sempena program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Hujan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh tidak mematahkan semangat lebih 300 peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi yang diketuai legenda rock tanah air, Datuk Awie demi solidariti terhadap rakyat Palestin.

Konvoi diketuai kelab motosikal Wings Motor Gang Society (WMGS) Asean bersama 11 lagi kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain tiba di Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak kira-kira jam 7.30 malam pada Isnin.

Menurut Awie, idea untuk mengadakan program berkenaan tercetus bagi bersama-sama rakyat Palestin menyokong pembebasan tanah air mereka selain menyahut seruan warga net yang memandang serong golongan peminat motosikal berkuasa besar.

Beliau berkata, biarpun berdepan cuaca hujan dan insiden kemalangan membabitkan dua orang peserta konvoi, ia langsung tidak menggugat semangat kesemua peserta meneruskan perjalanan ke Masjid Negeri Perak.

"Kita buat apa yang kita mampu. Sebenarnya kita nak buat lebih tetapi malangnya ALLAH bagi dugaan sedikit berlaku kemalangan jadi program bertukar sedikit.

"Apapun percubaan awal ini untuk berpakat dengan semua kelab motosikal yang ada di negara ini khususnya di sebelah utara ini satu petanda yang sihat.

"Di sana (Palestin) hujan peluru, hujan bom, apa nak dibandingkan dengan kita di sini, kita ini hujan air sahaja.

Artikel Berkaitan:

Awie (kanan) menerima cenderahati daripada Ridzuan sempena program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Isnin.
Awie (kanan) menerima cenderahati daripada Ridzuan sempena program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Isnin.

"ALLAH bagi dugaan itu sikit, kalau ini pun menjadi masalah kepada mereka di luar sana yang tak mahu datang di sini, duduk di mana mereka sepatutnya?" katanya kepada pemberita selepas program Solidarity Ride Free Palestine WMGS Asean ke Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Isnin.

Hadir sama menyambut ketibaan konvoi berkenaan, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin dan Imam Utama Masjid Negeri Perak, Ridzuan Zaidin.

Sementara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan itu, pihaknya merancang untuk mengadakan konvoi sama melibatkan kelab-kelab motosikal ke selatan tanah air dan pantai timur.

"Kita tidak akan hentikan program seperti ini dan kita akan teruskan buat lagi lebih besar tetapi hari ini merupakan permulaan untuk kita bersolidariti sekaligus membuktikan bahawa kita ini jauh di sudut hati bersama dengan Palestin.

"Tak lupa juga saya selaku yang mengeluarkan idea ini nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua terlibat yang turun bersama-sama menunjukkan kesungguhan mahu melihat Palestin mendapat balik tanah air mereka," katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri Perak mengalu-alukan sebarang bentuk program solidariti untuk Palestin seperti itu dan menggalakkan lebih banyak aktiviti seumpamanya dilaksanakan.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak seperti ini amat penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membela nasib rakyat Palestin.