Hukuman mati: Permohonan banduan akhir mula didengar hari ini

Mahkamah Persekutuan akan mula mendengar permohonan semakan semula hukuman mati yang dikemukakan oleh banduan akhir hari ini. - Foto Bernama
Mahkamah Persekutuan akan mula mendengar permohonan semakan semula hukuman mati yang dikemukakan oleh banduan akhir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan mula mendengar permohonan semakan semula hukuman mati yang dikemukakan oleh banduan akhir hari ini di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Sebelas permohonan dijangka didengar hari ini manakala 14 lagi pada Khamis.

Peguam Guok Ngek Seong, ketika dihubungi Bernama berkata, permohonan anak guamnya, Teh Hock Leong adalah yang pertama dalam senarai untuk didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Hock Leong adalah banduan akhir yang berdepan hukuman mati selama 20 tahun selepas disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2003 kerana mengedar 580.3 gram dadah jenis metamfetamina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dia telah mengemukakan rayuan di semua peringkat dan meringkuk dalam penjara sejak 1999 iaitu selama lebih 24 tahun.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak masing-masing pada 14 Mei 2008 dan 23 Okt 2009.

Ngek Seong dan peguam kanan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mewakili Hock Leong, 52, yang berpeluang merayu agar hukuman mati terhadapnya digantikan dengan pemenjaraan apabila Mahkamah Persekutuan bersidang hari ini.

Mengikut peruntukan Akta 847 yang berkuat kuasa 12 September lepas, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-Undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh pada awal minggu lepas memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Mahkamah Persekutuan telah menerima sejumlah 924 permohonan semakan semula hukuman mati setakat 31 Oktober lepas.

Beliau berkata, pemfailan dan pendengaran permohonan semakan semula hukuman mati itu akan diadakan secara berperingkat. - Bernama