Tidak mustahil harimau hanya tinggal nama

Sekiranya tidak diselamatkan dalam masa terdekat ini, tidak mustahil anak cucu kita tidak lagi mampu melihat haiwan liar ini secara berdepan walaupun di dalam pusat-pusat pelancongan atau konservasi. - Gambar hiasan
Sekiranya tidak diselamatkan dalam masa terdekat ini, tidak mustahil anak cucu kita tidak lagi mampu melihat haiwan liar ini secara berdepan walaupun di dalam pusat-pusat pelancongan atau konservasi. - Gambar hiasan
A
A
A

SABAN hari kita mendengar laporan akhbar mengatakan harimau keluar meninggalkan habitat asal gara-gara kawasan mereka telah diganggu oleh pembangunan yang dibuat manusia tanpa kawalan.

Impaknya, ada yang mungkin terkorban dilanggar, mungkin juga ditembak pemburu haram dan tidak terkecuali apabila ia masuk kampung, tindakan sama akan diambil orang masyarakat apabila terancam.

Kehidupan manusia juga terancam apabila haiwan ini mula memasuki kawasan yang diduduki manusia.

Dalam masa sebulan ini sahaja, sudah ada tiga kes penduduk meninggal dunia kerana diserang pak belang. Haiwan ternakan turut menjadi mangsa.

Ada pandangan mengatakan saiz hutan semakin mengecil dan habitat yang terganggu menyebabkan haiwan liar itu mulai berani mendekati kawasan yang didiami manusia untuk mencari makanan.

Hakikatnya, siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam memastikan haiwan karnivor ini untuk terus hidup dalam habitat yang sempurna?

Setakat ini, jumlah Harimau Malaya hanya tinggal sekitar 150 ekor sahaja secara keseluruhan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Sekiranya tidak diselamatkan dalam masa terdekat ini, tidak mustahil anak cucu kita tidak lagi mampu melihat haiwan liar ini secara berdepan walaupun di dalam pusat-pusat pelancongan atau konservasi.

Artikel Berkaitan:

Haiwan ini bukan hanya tidak lagi dipamerkan di taman-taman tema ataupun zoo-zoo, tetapi anak-anak masa depan hanya boleh melihat Harimau Malaya di poster-poster atau foto sahaja.

Buat masa ini, pelbagai agensi kerajaan terutamanya Perhilitan mengadakan pusat-pusat konservasi bagi tujuan menyelamat pelbagai haiwan yang semakin pupus seperti Harimau Malaya, gajah dan beruang matahari.

Penubuhan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah misalnya amat bermakna dalam usaha menyelamatkan haiwan-haiwan liar di habitat asal.

Bagaimanapun usaha berkenaan tidak mencukupi sekiranya tiada sokongan sepenuhnya baik dari segi korporat, swasta termasuk juga dengan masyarakat secara keseluruhannya.