[VIDEO] Bersatu buat laporan polis, SPRM dakwa wujud ugutan, rasuah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dua lagi ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu dibuat kerana mendakwa wujud ugutan dan rasuah yang mempengaruhi keputusan ahli Parlimen berkenaan.

Menurutnya, tawaran pemberian peruntukan itu kepada wakil rakyat PN secara tidak langsung telah melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

“Sebelum ini, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin ada membuat kenyataan berikutan kes-kes ahli Parlimen Bersatu yang diugut dan ditawarkan faedah kewangan.

“Kita sudah kumpul maklumat contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim ada memaklumkan dalam mesyuarat Bersatu Kelantan bahawa dia ada menerima tawaran, namun menolak.

“Pun begitu, beberapa hari kemudian, dia umum keputusan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PN di Publika pada Khamis.

Sebelum ini, akhbar melaporkan dua lagi daripada Ahli Parlimen Bersatu iaitu Jeli dan Gua Musang telah mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin - Foto fail Bernama
Muhyiddin - Foto fail Bernama

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberitahu bahawa Bersatu juga akan membuat laporan kepada SPRM.

“Ini kerana, dalam laporan yang melibatkan kes ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid jelas ada pihak tertentu seperti 'tauke' dan individu berpangkat Tan Sri yang jumpa dan ugut jika tidak buat itu (menyatakan sokongan) akan dikenakan hukuman oleh pihak SPRM.

“Kita sudah kumpulkan bukti untuk buat laporan polis dan laporan kepada SPRM yang mungkin melibatkan pegawai tertinggi suruhanjaya itu,” ujarnya.