MP Bersatu sokong PM: UMNO diingatkan tidak terlalu selesa - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

ALOR SETAR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti itu supaya tidak terlalu selesa dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa Ahli Parlimen terbabit memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang pernah menjadi kawasan milik Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Disebabkan itu Ahmad Zahid berpandangan, UMNO tidak harus terlalu selesa dengan dokongan beberapa ahli Parlimen Bersatu terhadap Perdana Menteri.

"Itu adalah satu perkara berlainan kerana mereka adalah ahli-ahli Parlimen (pembangkang).

"Mereka ini adalah ahli Parlimen, yang mana calon BN tak cukup jumlah undi untuk menang di kerusi itu (PRU15).

"Namun, kita berada pada kedudukan yang kedua," katanya ketika sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah, di sebuah hotel di Mergong di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah, di sebuah hotel di Mergong, pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah, di sebuah hotel di Mergong, pada Sabtu.

Menurut beliau, sokongan beberapa Ahli Parlimen Bersatu kepada kepimpinan Perdana Menteri merupakan perkembangan baharu yang baik kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO berpendirian kerusi itu perlu menjadi milik UMNO semula sekiranya perkembangan terbaru politik ini diambil kira sebagai landasan bergerak ke hadapan.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!