LBS jana 28.67 megawatt Program Tenaga Hijau Korporat

A
A
A

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

SHAH ALAM - Pemaju perumahan dan hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatat kejayaan apabila memperoleh kapasiti 28.67 megawatt (MW) melalui Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

Pencapaian ini merupakan hasil kolaborasi bersama konsortium yang terdiri daripada Setara Armada Sdn Bhd, MWG Power Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd.

Selari dengan komitmen LBS terhadap Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial, dan Amalan tadbir Urus (ESG), langkah strategik ini meningkatkan dedikasi syarikat dalam memupuk pembinaan pembangunan yang mampan serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San, berkata, kejayaan syarikat di dalam projek yang melibatkan CGPP menunjukkan komitmen LBS untuk mengintegrasikan amalan mesra alam ke dalam teras operasinya.

“Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan LBS sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, malah melonjakkan kedudukan syarikat di dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Dengan penggunaan 28.67MW tenaga boleh diperbaharui, LBS bersedia untuk mempertingkatkan pengurangan pelepasan karbon sekali gus memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga bersih di rantau ini,”katanya, di sin, hari ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Menurutnya, kejayaan dalam pemerolehan CGPP mengesahkan keteguhan komitmen syarikat LBS terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“LBS menitikberatkan tanggungjawab di dalam pembinaan ruang kediaman yang mampan di samping penglibatan dalam inisiatif yang menyokong kesejahteraan alam sekitar.

“Pencapaian ini merupakan bukti bahawa strategi perniagaan kami tertumpu kepada ESG dan menyokong sebarang usaha berkaitan bersama rakan kongsi kami yang dihormati,”katanya.

Hock San berkata, konsortium tersebut terdiri daripada Setara Armada Sdn Bhd, MWG Power Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd yang akan meneroka sinergi yang diperoleh menerusi kerjasama yang akan mengetengahkan kepakaran dan pengalaman dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Kolaborasi ini juga menandakan potensi perkongsian strategik dalam menyokong amalan kemampanan dan memacu transformasi yang positif.

“LBS berhasrat untuk memanfaatkan kapasiti penggunaan tenaga hijau yang baru diperoleh untuk mempertingkatkan pembangunan mampan ke dalam teras projeknya di masa hadapan.

“Syarikat akan sentiasa kekal konsisten untuk menyediakan solusi yang inovatif dan lestari sekali gus memberikan kesejahteraan kepada masyarakat secara keseluruhannya,”katanya.