'Kantoi' curi botol minuman, baju sukan

Antara pakaian sukan yang dirampas polis susulan penahanan suspek, pada Khamis.
Antara pakaian sukan yang dirampas polis susulan penahanan suspek, pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki yang dipercayai mencuri botol minuman di restoran terkenal dan pakaian sukan di sebuah pusat beli-belah di sini, diberkas polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu disedari pelayan restoran terbabit kira-kira jam 12.20 tengah hari yang membuat pengiraan stok sebelum mendapati dua botol minuman dianggar bernilai RM500 telah hilang.

Menurutnya, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek seorang lelaki tempatan telah mengambil botol tersebut di rak pameran sebelum memasukkannya di dalam beg.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 1.30 petang, hari yang sama, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sunway telah membuat tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 24 tahun di pintu utama pusat beli-belah terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui barang yang dicuri di dalam beg milik suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dua botol minuman di sebuah restoran terkenal yang dirampas polis susulan penahanan suspek pada Khamis.
Dua botol minuman di sebuah restoran terkenal yang dirampas polis susulan penahanan suspek pada Khamis.

Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek turut disyaki terlibat kes curi baju sukan bernilai RM2,060 pada 15 Oktober lalu di pusat beli-belah yang sama.

Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek, kira-kira jam 5 petang, Ketua Balai Polis Bandar Sunway bersama anggota telah ke rumahnya di sekitar Bandar Sunway sebelum membuat rampasan 26 helai baju dan 10 helai seluar sukan jenama Nike dan Adidas.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah kes curi dalam bangunan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya).