Muka baharu tanda persediaan hadapi PRU - Presiden MCA

Ka Siong (dua dari kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Johor di Johor Bahru pada Jumaat.
Ka Siong (dua dari kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Johor di Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kehadiran ramai muka baharu dalam Jawatankuasa Perhubungan MCA di setiap negeri kali ini dilihat sebagai persediaan bagi mengharungi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, pihaknya yakin penampilan muka-muka baharu ini mampu membawa perubahan yang positif kepada parti.

“Pada hari ini, saya telah menubuhkan jawatankuasa perhubungan, (liaison committee) MCA Johor dan kali ini saya buat satu rombakan yang agak besar di mana kita serahkan tanggungjawab kepada mereka yang berada di Johor (yang tidak memegang apa-apa jawatan), bagi mengendalikan urusan parti.

“Kali ini, kita menampilkan muka-muka baharu di Johor dan ini sebagai proses kesinambungan perjuangan parti dan saya yakin dengan cara ini kita perlu membuat perubahan.

“Mereka yang sudah ada tanggungjawab di peringkat pusat, biarkan mereka di situ (pusat). Saya percaya kita telah lakukan perubahan lebih daripada 80 peratus kali ini,” katanya.

Ka Siong berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Johor di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa (lantikan) MCA yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Ketua Pemuda MCA yang juga Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon dan Ketua Wanita MCA, Wong You Fong.

Sementara itu Ka Siong berkata, perkara sama juga akan dilakukan di beberapa negeri seperti di Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Malah, Ka Siong turut tidak menolak bahawa kehadiran muka-muka baharu berkenaan sebagai antara langkah rejuvenasi parti berkenaan.

“Sebelum ini jawatankuasa ini menampilkan pimpinan tertinggi parti. Tapi kini, kita membuka peluang kepada muka-muka baharu bagi membuktikan kewibawaan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita juga menjangkakan cabaran yang baharu dan itu sebabnya kita memerlukan team yang kuat seperti yang pernah saya cakap sebelum ini iaitu bagi meneruskan kesinambungan parti kita,” katanya.