MCA kekal peranan parti konstruktif, pastikan kestabilan politik

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun tiada sebarang jawatan di peringkat persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan, ia tidak menghalang MCA untuk kekal sebagai sebuah parti politik yang konstruktif sekali gus memastikan kestabilan politik negara.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MCA komited memainkan peranan dalam memantau urus tadbir negara bagi memastikan pembangunan dan pencapaian negara berada di landasan yang betul dan hak rakyat terus dilindungi.

"Dengan pengalaman yang kita ada ketika berada dalam kerajaan sejak beberapa dekad lepas, pastinya kita cukup mengenali struktur organisasi agensi kerajaan dan prosedur operasi mereka.

"Dalam parti juga, kita mempunyai profesional, pakar dan cendekiawan dalam pelbagai bidang yang mampu mengutarakan idea-idea bernas serta melontarkan cadangan membina,” katanya dalam ucapan dasar presiden ketika merasmikan Perhimpunan Agung (AGM) MCA ke-70 pada Ahad.

Beliau turut menggariskan empat hala tuju dalam usaha memperkukuh kekuatan dalaman parti dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) iaitu memperkasa parti, perkukuh kerjasama antara semua parti komponen Barisan Nasional (BN), mengekalkan MCA sebagai parti politik dan terbuka untuk kerjasama mana-mana pihak yang selari dengan ideologi MCA.

"Tugas kita paling mendesak ketika ini ialah memperkasakan parti, ‘Teguhkan Diri, Tabahkan Jiwa’ dan dalam landskap politik yang mencabar, kita mesti melakukan pembaharuan parti terlebih dahulu.

"Kita mesti meningkatkan bakat dalam parti dan mengenal pasti ahli parti yang setia, memperbaiki struktur organisasi dan mengukuhkan keupayaan kita untuk menggerakkan ahli. Kita mesti membuktikan kepada parti komponen bahawa kita adalah parti berpengaruh dalam gabungan yang boleh menambah nilai kepada rakan kongsi kita,” katanya.

Ka Siong berkata, MCA bersama BN mestilah mengamalkan politik yang lebih terbuka dengan bersedia menjalin kerjasama pelbagai pihak asalkan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan dan perjuangan BN, demi pembaharuan serta pemulihan BN.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh empat tahun akan datang ini cukup penting. Justeru kita mesti meletakkan kepentingan BN sebagai keutamaan dan bekerjasama dengan semua parti komponen untuk membuat persiapan menghadapi PRU16,” katanya.

Beliau berkata, jika mana-mana parti komponen BN berhasrat untuk membentuk perkongsian baharu dan meninggalkan ahli gabungannya, MCA tidak akan teragak-agak untuk berdikari.

"Paling penting, MCA mesti kekal pendirian dan serius untuk menjadi parti politik, bukannya organisasi kebajikan mendukung keyakinan pemimpin terdahulu iaitu Tun Tan Cheng Lock yang menukar MCA daripada sebuah pertubuhan kebajikan kepada parti politik pada 1951,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya Ka Siong berkata, ketidakhadiran pemimpin daripada parti komponen BN pada AGM kali ini kerana berdasarkan keputusan jawatankuasa pusat MCA pada 2018 memutuskan untuk tidak menjemput ahli bukan parti sekiranya AGM jatuh pada tahun pemilihan parti yang diadakan setiap lima tahun.

Pada 24 September lepas, MCA mengadakan pemilihan bagi peringkat pusat manakala pemilihan bagi sayap Pemuda dan Wanita telah berlangsung pada 23 September lepas. - Bernama.