MyCC diminta teliti 'penyatuan' syarikat p-hailing

Gambar kecil: Wan Mohd Farid
Gambar kecil: Wan Mohd Farid
A
A
A

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) diminta meneliti segera kemungkinan berlakunya monopoli dalam perkhidmatan p-hailing oleh syarikat penghantaran makanan, Grab susulan terdapat ura-ura penjualan Foodpanda awal Disember tahun ini.

Penganalisis industri dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, implikasi monopoli Grab yang berpotensi membawa kepada pengaruh besar ke atas Foodpanda bukan sahaja harga, tetapi struktur pasaran khidmat penghantaran makanan.

“Salah satu kesan monopoli yang paling segera ialah kawalan harga. Tanpa persaingan, syarikat boleh menetapkan harga sesuka hati dan menjadikan ia terhad tanpa pilihan.

“Apabila ini berlaku, harga kemungkinan menjadi lebih tinggi kerana pengguna tidak mempunyai alternatif untuk beralih kepada pembekal lain.

“Kekurangan kepelbagaian dalam produk dan perkhidmatan boleh menyekat inovasi serta menghalang pengguna untuk mencari pilihan yang benar-benar memenuhi keperluan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Mohd Farid turut memaklumkan, potensi pemerolehan Foodpanda oleh Grab boleh memberi implikasi ketara kepada pasaran penghantaran makanan di Asia Tenggara.

Namun tambahnya, jika Grab memperoleh unit Asia foodpanda, ia akan mengukuhkan kedudukan syarikat tersebut sebagai pemain utama industri penghantaran makanan dalam talian.

Menurutnya lagi, penyatuan pasaran antara perkara penting untuk dipertimbangkan kerana Grab yang mengambil alih operasi Uber di ASEAN telah menjadi pemain dominan dalam ruang pengangkutan dan penghantaran makanan.

Artikel Berkaitan:

“Memperolehi unit Asia Foodpanda akan mengukuhkan lagi kehadiran di rantau ini, menjadikannya kuasa penting dalam pasaran penghantaran makanan.

“Sebarang pemerolehan skala ini memerlukan kelulusan kawal selia dan ia perkara biasa bagi pihak berkuasa persaingan untuk menjalankan semakan menyeluruh bagi menilai isu antitrust, hasil semakan boleh mempengaruhi pemerolehan terbabit diteruskan dan dalam keadaan apa,” ujar beliau.

Jelas penganalisis itu, pemerolehan tersebut mampu menjejaskan dua pihak yang mana pengguna mungkin melihat perubahan harga, pilihan penghantaran atau ketersediaan pilihan makanan, manakala restoran menghadapi terma dan syarat baharu apabila bekerjasama dengan platform penghantaran lebih besar.

Ujar beliau, jika pemerolehan berjaya dibuat, Grab dan Foodpanda mungkin memanfaatkan sinergi untuk meningkatkan perkhidmatan, mengembangkan jangkauan dan melabur dalam teknologi serta infrastruktur.

“Secara ringkasnya, potensi pemerolehan Foodpanda oleh Grab di Asia Tenggara merupakan perkembangan penting dalam industri penghantaran makanan.

“Ia menimbulkan kedua-dua peluang dan kebimbangan yang berkaitan dengan persaingan pasaran serta pilihan pengguna, hasilnya bergantung kepada kelulusan kawal selia dan strategi oleh Grab dan Foodpanda selepas pemerolehan,” ujarnya.