Kadar upah rendah: PM jumpa syarikat p-hailing Selasa depan

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) pada 8 Ogos ini berhubung isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, perjumpaan itu susulan pertemuan Perdana Menteri bersama rakan-rakan penghantar p-hailing pada 22 Julai lalu bagi memahami cabaran yang dihadapi mereka.

“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya satu pertemuan susulan diadakan bersama syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing.

“Syarikat-syarikat pengendali p-hailing akan dipanggil untuk berjumpa dengan Perdana Menteri dalam satu pertemuan yang dijadualkan 8 Ogos ini,” kata MOT dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Anwar pada 20 Julai lalu memaklumkan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.

Ini selepas salah seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah, sekali gus mengurangkan pendapatan mereka.

Tambah MOT, Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi perhatian terhadap isu kebajikan pekerja p-hailing dan terus komited dalam usaha memelihara kesejahteraan mereka di samping memastikan kemampanan pembangunan industri p-hailing selaras dengan konsep Malaysia Madani.