Johor lanjut kutipan Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor melanjutkan tempoh kutipan Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin mulai 10 hingga 17 November 2023 di seluruh masjid dan surau di negeri ini.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Neger Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, tabung yang mula diadakan di setiap masjid dan surau di seluruh negeri Johor mulai 27 Oktober hingga 3 November lalu berjaya mengumpulkan sejumlah RM796,184.75 melibatkan sejumlah RM607,304.55 kutipan masjid-masjid dan surau (RM188,880.20).

Malah katanya, dianggarkan sejumlah RM200,000 lagi berjaya dikumpulkan hasil kutipan yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Pejabat Pendidikan Islam Daerah, bagi tempoh sama.

“Kerajaan Johor memandang serius isu kemanusiaan yang berlaku khususnya yang menimpa saudara-saudara muslim di Semanjung Gaza, Palestin.

“Justeru, lanjutan kutipan tabung khas ini adalah bertujuan menggalakkan umat Islam khususnya di negeri Johor untuk terus menyumbang kepada tabung ini.

“Kesemua kutipan tersebut akan disalurkan terus ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Kementerian Luar Negeri Malaysia dan diharapkan agar sumbangan ini mampu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh rakyat di bumi Palestin ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) juga telah mengarahkan agar kesemua masjid dan surau untuk melaksanakan Qunut Nazilah secara jahar dalam solat lima waktu termasuk solat jumaat.

Malah katanya, kesemua masjid dan surau juga diarahkan untuk melaksanakan solat sunat hajat selepas solat fardu Maghrib.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan Qunut Nazilah dan solat sunar hajat ini adalah bagi memohon agar peperangan, kesulitan dan kemudaratan yang dihadapi oleh rakyat Palestin segera berakhir,” katanya.