Kertas siasatan restoran caj mahal diserah kepada Pendakwa Raya

Laporan Sinar Online mengenai isu tersebut.
Laporan Sinar Online mengenai isu tersebut.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah menyerahkan dua kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya berhubung sebuah restoran makanan laut di bandar raya ini yang didakwa mengenakan caj bayaran mahal kepada pelanggan.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan lanjut terhadap kes tersebut diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat unsur pencatutan dan tidak meletakkan tanda harga dilakukan di restoran makanan laut itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Siasatan kes telah selesai dilakukan dan kita dapati ada dua unsur kesalahan, iaitu kesalahan tiada tanda harga dan pencatutan atau menjual dengan harga yang tidak munasabah.



"Jadi, di peringkat Timbalan Pendakwa Raya (seterusnya) akan menentukan sama ada kes ini (pemilik) akan di kompuan atau dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Bulan lepas, tular video berdurasi 26 saat dan gambar resit bayaran makanan di restoran makanan laut berjumlah RM1,260 dimuat naik di Instagram oleh isteri kepada penyanyi Mawi, Nora' Asikin Rahmat atau Ekin, yang meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga dikenakan terlampau mahal.

Bagaimanapun, menerusi satu video berdurasi dua minit yang turut tular, peniaga makanan laut itu telah memberi penjelasan berhubung harga dikenakan dengan memaklumkan harga itu adalah untuk hidangan dipesan 20 orang.

Sementara itu, mengenai harga ayam di Johor selepas pengapungan pada 1 Nov lepas, Lilis Saslinda berkata harga ayam di negeri itu adalah stabil serta tidak membebankan iaitu antara RM6 dan RM9 sekilogram.

"Setakat ini, kita mendapati tiada kenaikan harga ayam yang terlalu mendadak atau melampau, malah peniaga juga beretika dan bersaing secara sihat," katanya sambil menegaskan bekalan sumber protein itu juga mencukupi.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar membuat aduan sekiranya terdapat peniaga menjual pada harga tidak munasabah.