Steinbruckner puji kebangkitan TFC

Sony Norde menjadi wira TFC ketika kemenangan ke atas Stallion.
Sony Norde menjadi wira TFC ketika kemenangan ke atas Stallion.
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan pasukannya berhak meraih kemenangan biarpun menerima tentangan sengit daripada pasukan Stallion Laguna dalam aksi Piala AFC, pada Rabu.

Menurutnya, TFC bermain lebih baik terutama ketika mencipta kebangkitan daripada ketinggalan dua gol awal dalam kemenangan 3-2 di Stadium Binan, Filipina itu.

"Saya perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana selepas ketinggalan dua gol, kami berjaya bangkit. Perlawanan pertama (menentang Stallion), kami juga ketinggalan dua gol dan berjaya ikat mereka untuk dapat satu mata.

"Misi kami adalah mahu menang perlawanan ini untuk mengekalkan peluang untuk layak ke pusingan seterusnya," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, TFC terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Junior Ngong Sam seawal minit ketiga sebelum Griffin McDaniel menggandakan kedudukan buat Stallion pada minit ke-14.

Kebangkitan TFC bermula menerusi jaringan sendiri kapten Stallion, Matthew Nierras, pada minit ke-33 sebelum Ivan Mamut menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

Sony Norde muncul wira apabila gerakan solonya gagal dipintas pemain lawan sebelum tenang menyudahkan jaringan pada minit ke-86 untuk tiga mata penting TFC.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui banyak lagi yang perlu diperbaiki barisan pemainnya walaupun statistik menunjukkan penguasaan perlawanan oleh skuad pantai timur itu sepanjang 90 minit perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat kepada statistik bukan sahaja pada perlawanan ini, kami menguasai perlawanan 60 hingga 70 peratus perlawanan. Sudah tentu kami mahu menguasai perlawanan tetapi kami perlu mempunyai sasaran bagaimana kami mahu bermain.

"Kami perlu memanfaatkan kelebihan itu untuk memperagakan persembahan lebih baik dalam perlawanan akan datang," katanya.