Namibia muncul juara hoki dalam dewan Piala Sultan Nazrin Shah

Tuanku Zara Salim (depan, kanan) berkenan bergambar dengan pasukan hoki lelaki Namibia yang muncul johan pada aksi akhir edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah di Stadium Indera Mulia malam ini. - Foto Bernama

A
A
A

PEMAIN senior Namibia, Brynn Cleak muncul wira pasukannya, selepas jaringannya mengesahkan kemenangan ke atas Afrika Selatan menerusi penentuan penalti 3-2, pada aksi final edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas berakhir 40 minit perlawanan, pada aksi di Stadium Indera Mulia dekat sini.

Turun selaku pasukan bukan pilihan, Namibia yang berada di ranking ke-13 dunia bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang yang disempurnakan Fagan Hansen, pada minit ke-10.

Tujuh minit berselang, serangan bertali arus skuad bimbingan Trevor Cormack membuahkan hasil, apabila Brynn Cleak meletakkan pasukannya berkelebihan dua jaringan, menerusi gol padang.

Tersentak apabila ketinggalan dua gol, Afrika Selatan menggandakan asakan dan berhasil merapatkan jurang, apabila Keegan Hezlett menyempurnakan pukulan sudut penalti ketiga pasukannya pada minit ke-26.

Pasukan hoki wanita Afrika Selatan muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara Edisi Kedua selepas menewaskan Switzerland 4-3 pada aksi akhir edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah. - Foto Bernama

Afrika Selatan di bawah kendalian Justin Rosenberg terus memberi tekanan kepada Namibia pada suku keempat perlawanan dan gol yang dinanti-nantikan mereka hadir pada minit ke-32, menerusi Jethro Eustice.

Namibia berpeluang untuk berada di depan pada minit akhir perlawanan, tetapi tolakan Cody Merwe berjaya dinafikan penjaga gol Afrika Selatan Phemelo Ramatlotlo.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan kemudian terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti yang memihak kepada Namibia, selepas Keegan Hezlett gagal menyempurnakan pukulan penalti.

Sebelum itu, pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, New Zealand berjaya menundukkan Australia dengan keputusan 6-4.

Sementara itu, pasukan hoki wanita Afrika Selatan muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara Edisi ke-2, selepas menewaskan Switzerland 4-3, juga menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 1-1.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang berupa piala dan medal.

Kejohanan selama enam hari bermula 6 November lalu disertai Afrika Selatan, Australia, Namibia, Switzerland, New Zealand, Hong Kong dan Malaysia. - Bernama