Selalu ponteng tak semestinya tidak bagus

Terdapat cadangan untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng di Dewan Rakyat. - Foto Bernama
Terdapat cadangan untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng di Dewan Rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan teringat semasa di sekolah dahulu, ada seorang pelajar sekelas yang mempunyai satu tabiat buruk iaitu selalu ponteng sekolah.

Keluar masuk bilik guru besar, dimarahi dan didenda cikgu disiplin sudah menjadi perkara biasa baginya. Pernah diberi kaunseling, tapi sampai habis Tingkatan Lima tetap tidak insaf.

Ketika di universiti pula, Merak Jalanan hadapi satu lagi situasi sama - seorang pelajar sekelas sering ponteng, terutama bagi subjek yang pensyarahnya membosankan.

Tapi peliknya, kedua-dua rakan sekelas Merak Jalanan itu berjaya dalam hidup. Yang seorang itu lulus gred satu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudian masuk universiti dan sekarang sudah ada syarikat sendiri.

Seorang lagi tamat universiti dengan CGPA lebih 3.0 dan kini memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat swasta.

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng di Dewan Rakyat.

Merak Jalanan bersetuju bahawa cara tersebut sebenarnya tidak praktikal, sebaliknya lebih kepada menjatuhkan air muka ahli Parlimen terbabit.

Tidak semestinya ahli Parlimen yang tidak hadir ke Sidang Dewan itu tidak bagus kerana mungkin mereka mempunyai tuntutan kerja lain, terutama yang memegang jawatan menteri.

Artikel Berkaitan:

Cuma, kalau nak dibuat juga, Merak Jalanan mencadangkan cara lain iaitu dengan memberi markah kepada ahli Parlimen yang rajin dan cemerlang, dan memotongnya jika ponteng tanpa sebab atau membuat huru-hara di dalam dewan.

Markah terkumpul nanti boleh dimasukkan dalam kad laporan. Kalau markah tinggi, boleh dijadikan bahan kempen untuk pilihan raya akan datang bagi pengundi membuat penilaian.

Tapi Merak Jalanan tidak terkejut kalau ahli Parlimen yang mendapat markah tercorot pun tetap akan menang pilihan raya.