Ahli Parlimen perlu tunjuk contoh lebih baik daripada budak sekolah - Akmal Saleh

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Muhamad Akmal
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen yang tidak bersetuju nama mereka dipaparkan dalam laman web Dewan Rakyat kerana ponteng sesi dewan perlu menunjukkan contoh lebih baik daripada pelajar sekolah.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka perlu menonjolkan kepimpinan melalui teladan sekiranya mahu menjadi seorang wakil rakyat yang matang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, semua pelajar sekolah wajib ke sekolah kerana tanggungjawab dan perkara sama perlu dilakukan ahli-ahli Parlimen untuk hadir sidang Dewan Rakyat.

“Jadi sepatutnya kena buktikan semua MP (ahli Parlimen) lebih baik daripada budak sekolah. Bukan hanya terpekik terlolong dalam Parlimen berbahas dengan tidak matang dan isu yang tidak membantu rakyat sekalipun.

“Kita minta budak-budak sekolah wajib hadir ke sekolah kerana itu tanggungjawab mereka, maka salah satu tanggungjawab MP adalah hadir dan berbahas dengan matang isu rakyat di Parlimen.

“Kepimpinan melalui teladan, kalau budak sekolah kita minta mereka ada disiplin, kenapa tidak kita,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dilapor menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mencadangkan untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng sidang dewan di laman web berkenaan.

Beliau menyifatkan cadangan tersebut merupakan satu tindakan yang memalukan dan tidak muhasabah kerana akan menyebabkan imej dan reputasi ahli Parlimen buruk pada mata rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Johari dilapor berkata, nama ahli-ahli Parlimen yang ponteng dengan sengaja mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Tindakan tersebut merupakan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!