Pergaduhan Liga Suparimau, Hannah beri amaran tindakan tegas

Hannah
Hannah
A
A
A

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan semasa perlawanan Liga Suparimau antara pasukan Akademik MZ dan FCKL Eagles yang bersaing pada peringkat bawah 16 tahun (B16) kategori Tigers di Damansara di sini, Ahad lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya akan mendapatkan laporan penuh daripada pihak berkepentingan sebelum memutuskan tindakan seterusnya terhadap insiden yang tular di media sosial itu.

Menerusi video yang tular di laman Facebook Afif Aizad Azman dan media sosial X ‘Pemerhati Pengadil’, pergaduhan itu kelihatan tegang dan bertambah parah apabila turut melibatkan pihak pengurusan dan waris kedua-dua pasukan sehingga mendatangkan kecederaan.

Liga Suparimau ialah program pembangunan bola sepak akar umbi untuk pemain berusia lima hingga 17 tahun anjuran bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Maxim Events.

"Saya melihat video itu, saya tidak gembira kerana ini semua pemain junior dan kejadian seperti ini berlaku. Ini adalah sesuatu yang kita tidak akan bertolak ansur.

"Jika perlu saya percaya laporan polis dibuat tetapi saya mengumpul maklumat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan e-sukan Mas Tigers Arena of Valor di sini, hari ini.

Hannah berkata, memandangkan kementerian telah menerima komitmen daripada semua persatuan sukan untuk Kod Sukan Selamat (SSC), sesiapa sahaja yang menganjurkan acara sukan harus mematuhi kod tersebut tidak kira sukan berprestasi tinggi atau peringkat akar umbi.

Terdahulu, Hannah dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub menyerahkan bendera negara dan geran bantuan penyertaan pertandingan luar negara RM100,000 kepada pasukan Mas Tigers, yang menyertai Kejohanan Antarabangsa Honor of Kings 2023.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengurus pasukan Mas Tigers, Wong Kang Woon berkata, pasukan itu menyasarkan kedudukan lapan terbaik dalam pertandingan yang digelar sebagai kejohanan dunia di Shanghai, China dari 22 November hingga 30 Disember dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$10 juta (kira-kira RM46.8 juta).

"Kami menerima tiket ‘wild card’ berdasarkan pencapaian pingat perak di Sukan Asia Hangzhou 2022. Kami telah mengekalkan enam pemain Sukan Asia dan memanggil tiga lagi pemain baharu kali ini, jadi harapan boleh mendapat kedudukan lapan terbaik daripada 26 pasukan,” katanya.

Dalam majlis yang sama, pasukan itu turut menerima tajaan dalam bentuk barangan iaitu telefon mudah alih permainan daripada IQOO Malaysia dan bagasi daripada Eminent. - Bernama