Obama beri amaran tindakan Israel di Gaza boleh 'makan diri'

Obama - Foto Bernama
Obama - Foto Bernama
A
A
A

BEBERAPA tindakan yang diambil Israel dalam menentang Hamas seperti memotong bekalan makanan dan air di Gaza hanya akan mengukuhkan lagi sikap rakyat Palestin selama beberapa generasi akan datang dan melemahkan sokongan antarabangsa kepada negara itu, tegas Barrack Obama, lapor Reuters.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu yang jarang memberikan ulasan dalam krisis polisi antarabangsa menegaskan, apa sahaja strategi ketenteraan Israel dalam perang berkenaan yang mengabaikan nilai kemanusiaan hanya akan 'memakan diri' mereka sendiri.

“Keputusan kerajaan Israel menghentikan bekalan makanan, air dan elektrik di Gaza tidak hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan sebaliknya akan mengukuhkan lagi sikap rakyat Palestin selama beberapa generasi akan datang, menghakis sokongan global kepada Israel serta merosakkan usaha jangan panjang untuk mencapai perdamaian dan kestabilan di rantau berkenaan,” tegas Obama.

Israel melancarkan serangan udara ke Gaza tanpa henti susulan serangan dilancarkan oleh Hamas ke atas negara itu pada 7 Oktober lalu.

Serangan Hamas mengorbankan 1,400 rakyat Israel, manakala serangan balas Israel pula menyebabkan lebih 5,000 rakyat Palestin terkorban.

Obama dalam masa sama mengutuk serangan dibuat Hamas dan mengulangi sokongannya kepada Israel untuk mempertahankan diri, namun dalam masa masa sama menyatakan kebimbangan perang meragut nyawa orang awam.

Belum jelas sama ada Obama ada telah berkoordinasi dengan Presiden Joe Biden yang pernah menjadi Naib Presiden beliau selama lapan tahun.

Semasa perkhidmatannya sebagai Presiden, Obama sering bersetuju dengan tindakan Israel mempertahankan diri mereka ketika permulaan konflik dengan pasukan Hamas dari Palestin, tetapi dengan pantas menggesa Israel meredakan serangan selepas berlaku kematian rakyat Palestin akibat serangan udara.

Artikel Berkaitan:

Gaza merupakan wilayah yang padat dengan jarak panjangnya 45 kilometer didiami oleh 2.2 juta penduduk dikuasai oleh Hamas sejak 2007.

Semasa Obama menjadi Presiden AS juga, pentadbiran beliau berusaha mencari jalan perdamaian antara Israel dan Palestin, namun gagal.

Sementara Biden pula ketika mengambil alih tampuk pemerintahan AS pada 2021, tidak mengambil inisiatif meneruskan usaha yang dibuat pentadbiran sebelum itu, dengan menyatakan pemimpin dari kedua-dua belah itu tidak sabar selain masa juga tidak kena ketika itu.

Hubungan Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula pernah diuji apabila pentadbiran AS yang diterajui Obama ketika itu sedang berurusan dengan Iran mengenai perjanjian nuklear.

Biden yang juga Naib Presiden kepada Obama ketika itu sering menjadi orang tengah di antara Obama dan Netanyahu. - Agensi