[VIDEO] 47 rumah terjejas akibat ribut di Taman Klebang Jaya

A
A
A

IPOH - Hujan lebat kira-kira dua jam berserta ribut menyebabkan 47 rumah di Taman Klebang Jaya dan Taman Klebang Prima di sini terjejas apabila sebahagian bumbung diterbangkan angin kencang pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chepor Dalam Seri Kelebang, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang juga menyebabkan beberapa rumah yang terjejas tidak dapat didiami kerana mengalami kerosakan serius.

Penduduk melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan selepas beberapa rumah rosak akibat kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan mereka di Taman Klebang jaya hari ini. - Foto Bernama
Penduduk melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan selepas beberapa rumah rosak akibat kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan mereka di Taman Klebang jaya hari ini. - Foto Bernama

Menurutnya, berdasarkan tinjauan yang dibuat bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun, hanya tujuh rumah mengalami kerosakan serius manakala selebihnya berlaku kerosakan kecil.

"Alhamdulillah kejadian yang berlaku ini tidak melibatkan sebarang kecederaan mahu pun kehilangan nyawa penduduk.

Penduduk melihat kawasan perumahan mereka yang rosak akibat kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan di Taman Klebang jaya hari ini. - Foto Bernama
Penduduk melihat kawasan perumahan mereka yang rosak akibat kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan di Taman Klebang jaya hari ini. - Foto Bernama

"Cuma ada beberapa kenderaan penduduk yang turut rosak. Setakat ini, tiada PPS (pusat pemindahan sementara) dibuka. Kebanyakan mangsa yang terjejas berlindung di rumah ahli keluarga yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun akan membuat agihan pertama atap rumah kepada sebahagian mangsa yang terjejas, manakala selebihnya akan diberikan secepat mungkin untuk membolehkan pembaikan segera dibuat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ahmad Shafiq berkata, kejadian ribut berkenaan bukanlah kali pertama berlaku di kawasan tersebut malah pada tahun ini sekurang-kurangnya sudah dua kali dialami penduduk.

Salah sebuah rumah yang terjejas teruk di Taman Klebang Jaya akibat ribut yang berlaku pada Rabu. - Foto pembaca
Salah sebuah rumah yang terjejas teruk di Taman Klebang Jaya akibat ribut yang berlaku pada Rabu. - Foto pembaca

Menurutnya, pihak pejabat daerah bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun akan membuat penilaian pada Khamis dan kerja-kerja membaik pulih rumah yang terjejas akan turut dilakukan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan tiada rumah yang rosak akibat pokok tumbang, namun terdapat beberapa jalan utama yang terjejas disebabkan beberapa pokok yang merentangi jalan disebabkan kejadian ribut tersebut.

Dalam pada itu, situasi banjir di Perak semakin buruk apabila satu lagi PPS dibuka di daerah Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Chikus bagi menempatkan 13 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9, Simpang Tiga.

Dengan pembukaan PPS baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 471 orang melibatkan 145 keluarga di lima PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.