YBR sumbang RM100,000 kepada pelajar B40 UKM

Dari kiri, Syaiful, Syahredzan, Mohamad, Rohaya dan Nurwina pada sesi penyerahan relika cek Bantuan Awal Pengajian UKM pada Rabu
Dari kiri, Syaiful, Syahredzan, Mohamad, Rohaya dan Nurwina pada sesi penyerahan relika cek Bantuan Awal Pengajian UKM pada Rabu
A
A
A

BANGI - Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meneruskan pengajian.

Bantuan berkenaan melibatkan 100 pelajar semester satu hingga tiga di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari kalangan keluarga B40 dan pemilihan mereka telah dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UKM.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak berkata, pelbagai inisiatif telah diambil dengan melibatkan pertubuhan-pertubuhan, sektor korporat dan individu untuk bersama sebagai penyumbang kepada universiti.

“Ini termasuklah penyediaan ruang pembelajaran baharu yang kondusif, kelengkapan peralatan, sumbangan berbentuk dana wakaf bagi pembangunan fizikal serta serahan koleksi-koleksi peribadi melibatkan bahan-bahan nadir yang bernilai tinggi.

Mohamad (tengah) bersama tetamu kehormat dan penerima Bantuan Awal Pengajian di UKM pada Rabu.
Mohamad (tengah) bersama tetamu kehormat dan penerima Bantuan Awal Pengajian di UKM pada Rabu.

“Terima kasih YBR antara pertubuhan NGO yang amat prihatin telah mewujudkan Serambi Ilmu Rakyat serta memberi bantuan tunai kepada para pelajar UKM dalam meneruskan pengajian.

"Enam pengasas awal UKM juga turut hadir dan menyerahkan bahan untuk simpanan arkib serta muzium UKM bagi rujukan kepada pelajar-pelajar UKM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian serta upacara perasmian dan gimik penyerahan telah disampaikan kepada Mohamad sempena Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Timbalan Pengarah Perkhidmatan Inklusif Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Dr Nurwina Akmal Anuar; Ketua Pustakawan UKM, Rohaya Umar; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.

Sementara itu Syahredzan berkata, YBR sentiasa proaktif dalam memberikan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik terutamanya B40 untuk mendapat kualiti pendidikan sama seperti mereka yang lain.

“Inisiatif untuk memperkasakan mutu pendidikan tidak hanya memberi fokus terhadap pelajar, namun suasana pembelajaran di universiti juga harus diberi penekanan kerana dengan sumber yang mencukupi pelajar akan lebih selesa dan mudah untuk membuat capaian maklumat.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan pelajar untuk meneruskan semester pengajian dan juga sebagai pemangkin untuk berusaha mendapat keputusan yang cemerlang di masa akan datang,” katanya.

Mohamad (dua dari kanan) dan Syahredzan bersama pengasas dan penderma Koleksi Arkib & Muzium di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM
Mohamad (dua dari kanan) dan Syahredzan bersama pengasas dan penderma Koleksi Arkib & Muzium di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM

Di dalam majlis yang sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama 'SIR Corner' telah menyumbangkan set kelengkapan 'SIR Corner' kepada perpustakaan Tun Seri Lanang UKM dengan objektif memberikan manfaat kepada seluruh pelajar UKM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.

YBR juga telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital SIR daripada pihak pembekal.

Usaha berkenaan bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar-pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.

Antara pengisian majlis adalah Pelancaran Logo Perpustakaan UKM, Pelancaran LibGuides Perpustaakan UKM, Pelancaran Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium, Penyerahan Koleksi Lukisan Azman Nor, Penyampaian Anugerah Pencinta Ilmu, Penyampaian Keahlian Kehormat Perpustakaan serta lawatan tapak ke pameran koleksi perpustakaan, Sudut SIR Corner, Anjung Qurani, Bilik Koleksi Pengasas serta Ruang Activ Switch@PTSL.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!