PM sumbang RM50,000 kepada keluarga kebakaran di Kota Belud

Shamsul Iskandar menyerahkan replika cek bernilai RM50,000 sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada mangsa kebakaran Jalin Bin Toh di Kampung Pirasan Kota Belud hari ini. - Foto Bernama
Shamsul Iskandar menyerahkan replika cek bernilai RM50,000 sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada mangsa kebakaran Jalin Bin Toh di Kampung Pirasan Kota Belud hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BELUD - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyumbang RM50,000 kepada sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pirasan dekat sini baru-baru ini.

Sumbangan untuk satu keluarga besar terdiri 25 orang yang mendiami rumah itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar di kampung berkenaan hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu, Shamsul berkata, ia adalah sumbangan untuk meringankan beban, dalam membantu mereka membina rumah baharu.

"Saya bersama pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) datang ke sini bagi mewakili perdana menteri untuk menyampaikan sumbangan. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri kepada rakyat yang menghadapi musibah.

"Saya juga berterima kasih kepada banyak pihak lain yang berbesar hati membantu mangsa sebelum ini, khususnya kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan Jalin Toh, 70, menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang telah berbesar hati untuk memberikan sumbangan berkenaan seterusnya membantu keluarganya.

"Rumah itu adalah rumah kami ini dihuni enam keluarga iaitu anak-anak dan cucu-cucu saya. Kami sangat bersyukur kerana ada pihak yang menghulurkan bantuan sejak kejadian kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran jam 12.20 tengah hari pada 30 September lepas itu telah memusnahkan rumah seluas 70 x 80 kaki yang didiami mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: