Taufan Doksuri badai Filipina, lebih 11,000 hilang tempat tinggal

Sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 11,000 hilang tempat tinggal. FOTO: REUTERS
Sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 11,000 hilang tempat tinggal. FOTO: REUTERS
A
A
A

MANILA - Taufan Doksuri yang membadai utara Filipina pada Rabu, dengan hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 11,000 hilang tempat tinggal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Doksuri mendarat di Pulau Fuga di luar wilayah utara Cagayan sebelum subuh, membawa angin berkelajuan maksimum 175 kilometer sejam (kph) dan tiupan sehingga 240 kph.

Jurucakap agensi bencana negara, Edgardo Posadas berkata, Doksuri menyebabkan bekalan elektrik terputus, pokok tumbang dan rumah rosak.

Seorang dilaporkan mati lemas di wilayah Rizal, timur Manila, manakala dua yang lain cedera akibat banjir kilat.

Puluhan penerbangan domestik dibatalkan, manakala perjalanan laut di kawasan terjejas digantung, menyebabkan 4,600 orang terkandas di pelabuhan

Menurut biro cuaca, angin kencang yang boleh mengancam nyawa dijangka berterusan di (utara Filipina) dalam tempoh enam jam akan datang.

Kekuatan Doksuri dijangka lemah sedikit apabila bertiup keluar dari Filipina pada Khamis. Taufan itu diramal menyeberangi Selat Taiwan dan mendarat di sekitar Fujian, China pada Jumaat.

Kepulauan Filipina dilanda purata 20 siklon tropika setiap tahun.

Taufan paling kuat pernah melanda ialah Taufan Super Haiyan pada November 2013, membunuh 6,300 orang dan menyebabkan lebih empat juta hilang tempat tinggal. - Bernama