Nilai dalam diri pengaruhi tingkah laku individu

Hussamuddin ketika menyampaikan ceramah sempena Minggu Integriti 2023 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di Sunway Putra Tower pada Rabu.
Hussamuddin ketika menyampaikan ceramah sempena Minggu Integriti 2023 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di Sunway Putra Tower pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem nilai yang baik di dalam diri perlu dibentuk bagi melahirkan individu berintegiriti, amanah serta bertanggungjawab.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, hati akan dapat diuruskan dengan baik jika seseorang itu sentiasa percaya kepada Tuhan dan berpegang dengan agama.

Menurutnya, tidak ada ajaran agama di dunia ini yang mengajar kepada keburukan sebaliknya apa yang berlaku adalah kerana seseorang itu tidak mempunyai nilai di dalam hati.

“Kita kena kembali kepada asas, perlu berfikir apa tujuan hidup kita, kalau jadi ketua, pemimpin perlu ada objektif dan prinsip.

“Jika nilai ini wujud dalam hati tak kira apa agama apa sekalipun, dunia ini akan penuh dengan kasih sayang dan ianya turut menjadi asas untuk syarikat atau organisasi itu berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Hari Integriti bersempena Minggu Integriti 2023 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di Sunway Putra Tower di sini pada Rabu.

Turut hadir Pegawai Siasatan Unit Integriti, Kementerian Luar Negeri, PsK Muhammad Hafiz Yazid dan Ketua, Tadbir Urus Integriti Cradle Fund, Diyana Kamarudin

Hussamuddin (kiri) dan Muhammad Hafiz ketika hadir sebagai penceramah jemputan sempena Minggu Integriti 2023 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di Sunway Putra Tower pada Rabu.
Hussamuddin (kiri) dan Muhammad Hafiz ketika hadir sebagai penceramah jemputan sempena Minggu Integriti 2023 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di Sunway Putra Tower pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Hussamuddin, seseorang itu boleh menjadi taasub kepada pemimpin, parti politik hinggakan berlaku perkara di luar jangka termasuknya hilang sifat kemanusiaan dalam diri kerana nilai tiada dalam diri.

“Kita kena ada visi mati nak masuk syurga barulah apa yang kita buat mempunyai hala tuju yang jelas,” ujarnya.

Sementara itu Diyana berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Rasuah Busters pada sambutan minggu integriti kali ini.

“Perkongsian dan pengalaman Datuk Hussamuddin sedikit sebanyak dapat membuka minda kakitangan di sini untuk terus berjaya dan lebih bertanggungjawab dengan tugas yang telah diamanahkan oleh syarikat,” katanya.

Jelasnya, Cradle juga bersedia untuk menjadi Rakan Rasuah Busters bagi membolehkan kerjasama berterusan dalam penganjuran program kesedaran dan anti rasuah selepas ini.