MBSA serah sumbangan kepada kaum India sempena Deepavali

Shahrin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Dewan Azalea, Seksyen 25 Shah Alam.
Shahrin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Dewan Azalea, Seksyen 25 Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 50 kaum India kurang berkemampuan di sekitar Shah Alam menerima sumbangan Deepavali Tahun 2023 yang disumbangkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Rabu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, penerima terdiri dalam kalangan B40, warga emas, ibu tunggal, miskin bandar dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, selain sumbangan berupa set hamper barangan keperluan raya bernilai RM100, penerima turut menerima wang tunai RM100.

"Sumbangan diberikan kepada mereka yang beragama Hindu seterusnya memberi peluang kepada mereka bersama-sama untuk menyambut perayaan Deepavali," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad di Dewan Azalea, Seksyen 25 Shah Alam.

Mohd Azhar berkata, sumbangan itu merupakan salah satu program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh MBSA dalam merapatkan hubungan perpaduan, ukhuwah dan silaturahim dengan masyarakat.

"Selain itu, pihak MBSA berharap sumbangan ini dapat mempromosikan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan warga Shah Alam terutamanya komuniti setempat untuk membantu mereka yang lebih memerlukan," jelasnya.

Beliau berkata, MBSA akan meneruskan usaha-usaha untuk menyantuni golongan memerlukan sejajar dengan komitmen menjadikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) prihatin.

Artikel Berkaitan:

"Program ini juga merupakan sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11), dan Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh (SDG 16)," tambahnya.