Air Selangor salur keperluan asas kepada anak yatim sempena Deepavali

Sukarelawan Hydro Heroes bergambar bersama-sama anak yatim yang diraikan sempena perayaan Deepavali.
Sukarelawan Hydro Heroes bergambar bersama-sama anak yatim yang diraikan sempena perayaan Deepavali.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyumbang barangan keperluan asas kepada tiga rumah kebajikan anak-anak yatim di negeri Selangor sempena perayaan Deepavali kali ini.

Air Selangor dalam kenyataannya berkata, program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara itu 'turun padang ' meraikan anak yatim dari Persatuan Rumah Kebajikan Rita, Kapar, Pertubuhan Keselamatan Kanak-Kanak Klang dan Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai Kajang.

Menurut Air Selangor, sumbangan barangan keperluan di tiga rumah anak yatim itu meliputi makanan, barang keperluan sekolah, perkasas elektrik dan kelengkapan rumah kepada 137 kanak-kanak terbabit.

"Pasukan sukarelawan Hydro Heroes terdiri daripada 25 warga kerja Air Selangor juga turut sama menyertai program CSR ini dengan mengadakan gotong-royong mengecat dinding, memotong rumput dan membersihkan kawasan rumah kebajikan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Air Selangor berkata, sukarelawan turut mengadakan aktiviti santai dan menyeronokkan seperti membuat hiasan lantai tradisional ‘kolam’ dan senaman aerobik bersama anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut bagi memeriahkan dan menceriakan lagi sambutan perayaan itu.

Tambahnya, pihak syarikat di bawah payung 'Sesama Mara' juga telah mengagihkan bantuan barangan makanan asas 'Box of Hope' kepada golongan memerlukan.

Jelas Air Selangor, sehingga kini, sebanyak 4,332 kotak itu telah diagihkan kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak inisiatif itu mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020.

"Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan di samping memperkukuhkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakatseperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang," ujarnya.

Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

"Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan membantu komuniti sekeliling," jelasnya.