Mesyuarat MPT Bersatu malam ini tumpu kerjasama hadapi PRN Melaka

Mesyuarat akan dipengerusikan Muhyiddin di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Mesyuarat akan dipengerusikan Muhyiddin di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini dijangka membincangkan beberapa agenda penting, terutama kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Mesyuarat yang dijadual bermula jam 8 malam itu akan dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat parti berkenaan di Petaling Jaya.

Antara perkara lain yang dijangka dibincangkan ialah keputusan hasil mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada Ahad yang akan memulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu susulan tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.

Sebelum ini, Bersatu mengesahkan akan bertanding pada PRN Melaka dan memutuskan untuk menggunakan simbol sendiri.

Malah, beberapa ketetapan turut diputuskan termasuk kesediaan parti itu untuk membincangkan dan memperhalusi bentuk kerjasama atau 'electoral pact'.

Media turut melaporkan Bersatu mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka ke-16, dengan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari diberikan amanah meneliti peluang kerjasama berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada kedua-dua pihak berhubung perkara berkenaan. 

Pada Sabtu, PH mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi membabitkan sembilan kerusi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), tujuh bagi DAP dan lima untuk Parti Amanah Negara (Amanah).

Baki tujuh kerusi lagi tidak diumumkan dipercayai untuk rakan kerjasama gabungan itu.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!