1MDB: Usaha kesan aset masih dijalankan

Razarudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian September lalu.
Razarudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha mengesan aset milik bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB) masih diteruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya melalui Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap Roger.

"Kita (polis) dalam proses meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh bagi mengesan semula aset-aset tersebut.

“Kita lihat dia (Roger) sangat memberikan kerjasama kepada pihak polis," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu.

Beliau berkata, polis percaya akan dapat mengesan aset-aset tersebut dipercayai diseleweng hasil 1MDB, sekiranya bukan daripada Roger, mungkin daripada rakan sekutu.

26 Oktober lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu polis mengenal pasti seorang lagi individu di luar negara yang boleh membantu usaha membawa pulang aset 1MDB dianggar bernilai jutaan ringgit.

Namun, identiti individu di luar negara itu tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Pada 7 Oktober, media melaporkan Roger yang sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) diperintahkan untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan membabitkan siasatan melibatkan peguam 1MDB, Jasmine Loo, Razarudin berkata, kertas siasatan masih dalam tindakan Pejabat Peguam Negara.

Julai lalu, Jasmine, 49, menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.