Dong Zong menyemarakkan jurang kaum lebih meruncing: Macsa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PERIKATAN Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (Macsa) memandang dengan penuh kebimbangan tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menganjurkan kongres bagi membantah pengenalan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ini adalah satu tindakan yang mencabar usaha perpaduan nasional sehinggakan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir sendiri mengatakan bahawa kongres sedemikian boleh mencetuskan kekacauan.

Jawi yang bakal diajar untuk pelajaran Bahasa Melayu adalah sebanyak 3 halaman sahaja dan hanya bertujuan memberikan pengenalan kepada tulisan jawi yang terdapat di lambang negara, setem dan mata wang kita yang sudah pun digunapakai tidak kurang daripada 60 tahun.

Bahkan Kementerian Pendidikan sudah cukup berlembut dengan menyatakan bahawa pembelajaran tulisan jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Jelas sekali, sebarang penentangan terhadap pembelajaran jawi adalah tidak munasabah dan berpunca daripada sikap prejudis dan Islamofobik yang mendalam.

Keengganan Dong Zong untuk memperkasakan bahasa kebangsaan melalui pembelajaran tulisan jawi akan terus menerus melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memerlukan terjemahan surat rasmi berbahasa Mandarin dan matlamat bahasa kebangsaan sebagai penyatuan rakyat akan terus berkubur.

Macsa merasa kesal dengan pengucapan beberapa ahli-ahli politik yang tidak menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan perpaduan nasional melalui pendidikan yang lebih toleransi dan hormat-menghormati.

Sebagai contoh apabila YB Lim Kit Siang mempertahankan usaha Dong Zong dengan mengeluarkan kenyataan yang bercanggahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu sudut beliau mengatakan bahawa usaha harus dilakukan untuk mengelak sebarang polarisasi kaum dan agama di Malaysia, namun dalam masa yang sama beliau menegaskan bahawa kononnya ramai pihak bersetuju bahawa karakter sekolah vernakular perlu dikekalkan sebagai menjustifikasi penolakan kepada subjek pendidikan jawi di sekolah.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataannya pula cuba menafikan kongres anjuran Dong Zong ini bersifat perkauman, tetapi hanyalah suatu isu pendidikan.

Pendapat beliau ternyata berbeza dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang menegaskan bahawa persidangan pertubuhan Cina itu seolah-olah bertujuan melarang tulisan jawi diajar dan ditawarkan di sekolah vernakular.

Menurutnya, bantahan Dong Jiao Zong menunjukkan sikap antinasional serta menentang kepentingan negara. Macsa bersetuju bahawa kepentingan negara di sini adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Macsa mengingatkan orang ramai bahawa ini bukanlah kali pertama Dong Zong membantah sebarang usaha perpaduan nasional yang cuba kerajaan anjurkan melalui sistem pendidikan negara.

Pada tahun 1995, kerajaan mencadangkan Konsep Sekolah Wawasan yang berkonsepkan pendidikan dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama.

Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Kementerian Pendidikan telah mengatur pertemuan dengan Dong Zong pada 22 September 2000 untuk membincangkan tentang garis panduan Sekolah Wawasan tetapi perjumpaan ini berakhir dengan kegagalan.

Apa yang harus diakui oleh pihak yang menyokong bantahan Dong Zong adalah bahawa penentangan Dong Zong terhadap sebarang usaha memperhebatkan perpaduan nasional hanyalah berdasarkan fobia melampau terhadap Islam.

Ini berpotensi mengancam kemakmuran di Malaysia. Hakikatnya Dong Zong sendiri mempolarisasikan kaum dengan mewujudkan 'racial siege mindset' atau pemikiran kaum tertindas dengan menakut-nakutkan sesuatu kaum tanpa asas.

Macsa turut kesal dengan tindakan beberapa kementerian yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara apabila surat-surat rasmi, kain rentang majlis rasmi menggunakan bahasa-bahasa selain bahasa Melayu sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan seperti yang dimaktubkan dalam Perkara 152 dan 161 Perlembagaan Persekutuan.

Martabat Bahasa Melayu juga termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang memperuntukkan, di bawah Seksyen 2, bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan untuk semua maksud rasmi.

Tambahan pula, tulisan jawi dimartabatkan dalam Seksyen 9 dan 10 Akta 32 yang membenarkan semua penulisan bahasa kebangsaan dibuat sama ada dalam tulisan rumi dan jawi.

Kementerian Kewangan pernah terheret dalam kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbahasa Mandarin dalam surat rasmi kementerian.

Menterinya, Lim Guan Eng menyatakan itu hanyalah sebagai terjemahan kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan secara betul dalam bahasa Melayu.

Harus diperhatikan Seksyen 3 Akta 32 hanya membenarkan kerajaan untuk menggunakan apa-apa terjemahan apabila difikirkan perlu demi kepentingan awam.

Maka jelas, penterjemahan hanya boleh digunakan apabila wujud kepentingan awam untuk membenarkan penggunaan bahasa lain.

Adalah sesuatu yang dikesalkan apabila selepas hampir 61 tahun Malaysia mencapai merdeka, negara ini masih memerlukan bahasa selain bahasa kebangsaan untuk menjaga kepentingan rakyatnya.

Macsa melihat bantahan Dong Zong ini adalah satu bentuk penentangan kepada perpaduan nasional yang terlalu melampau dan sudah jauh menyimpang.

Apa yang lebih dikesali adalah kerana mereka menolak pembelajaran jawi atas alasan ia mengkhianati bangsa dan budaya mereka. Ini sekaligus memberi gambaran bahawa budaya bahasa kebangsaan tidak patut dipelajari oleh bangsa mereka. Ini sudah tentu akan membantutkan sebarang usaha menyemarakkan toleransi dan perpaduan nasional.

Suka untuk Macsa tekankan bahawa perpaduan nasional adalah terkandung dalam perjuangan hak asasi manusia kerana sebarang kegagalan kerajaan untuk menzahirkan perpaduan nasional memberikan isyarat bahawa rakyat sesebuah masyarakat berbilang latar belakang akan terus hidup dalam keadaan toleransi yang rendah.

Lebih buruk lagi apabila perpaduan nasional tidak dipandang serius sehingga menidakkan hak asasi manusia untuk hidup aman dalam komuniti secara bersama seperti yang dihasratkan dalam Artikel 27 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Ini jugalah yang telah ditekankan melalui syor-syor yang diberikan negara-negara luar kepada Malaysia dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang lalu.

Rakyat Malaysia perlu menolak sekeras-kerasnya kongres Dong Zong yang berniat untuk membantah pembelajaran jawi di sekolah vernakular dan mendesak lebih banyak inisiatif Kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional di antara masyarakat berbilang bahasa di Malaysia, bagi memastikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan hak asasi manusia seperti yang disyorkan dalam proses UPR dihormati.

* Lukman Sheriff Alias ialah Pengerusi Macsa dan Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar ialah Pengerusi Bersama Macsa