Kafe tawar makan 'bersama' ikan koi

Gambar yang dikongsi pengguna platform media X menunjukkan ikan koi berenang di bawah kerusi dan meja pelanggan sebuah cafe di Thailand. - Toto Agensi
Gambar yang dikongsi pengguna platform media X menunjukkan ikan koi berenang di bawah kerusi dan meja pelanggan sebuah cafe di Thailand. - Toto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Sebuah kafe unik di Khanom, Thailand menarik perhatian ramai apabila menyediakan ruang makan yang dipenuhi ratusan ikan koi berenang dalam air setinggi paras buku lali ketika pelanggan sedang menjamu selera.

Kafe digelar 'Sweet Fish Cafe' tular di media sosial apabila seorang pelanggannya berkongsi di platform media X yang menunjukkan ikan hiasan itu berenang bawah meja.

Pemilik restoran tersebut, Yosaphol Jitmung berkata, idea pembukaan kafe ini diambil daripada sebuah premis sama dikenali sebagai 'Amix Coffee' di Ho Chi Minch City, Vietnam yang pernah tular sebelum ini.

Katanya, tujuan pembukaannya untuk membolehkan pelanggan 'berinteraksi' dengan ikan sambil menjamu selera dengan menu yang ditawarkan.

Setakat ini, Yosaphol memberitahu, tiada lagi kafe di Thailand meniru konsep yang dibuatnya dan menjadikan ia amat berbaloi untuk meneruskan kesinambungan premis seperti ini.

"Perkara paling mencabar adalah membina sistem penapisan air yang boleh berfungsi 24 jam demi memelihara kesihatan ikan koi tersebut agar tidak mudah mati.

"Kami menukar air dua kali sehari dan sebelum pelanggan memasuki kafe ini, mereka perlu mencuci kaki bagi mengelakkan bakteria menjangkiti ikan," katanya.

Difahamkan, pelanggan dilarang sekeras-kerasnya menyentuh ikan tersebut walaupun ia kelihatan jinak dan setiap kali mengigit 'manja' jari kaki mereka. - Agensi

Artikel Berkaitan: