Mangsa banjir di Selangor terus meningkat, satu lagi PPS dibuka

Keadaan rumah yang ditenggelami banjir di Sepang.
Keadaan rumah yang ditenggelami banjir di Sepang.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan lapan PPS di Selangor setakat jam 4 petang, Selasa.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan, tambahan PPS itu membabitkan Dewan Dato' Hormat Sri Cheding bagi daerah Kuala Langat dengan angka mangsa ditempatkan di sana masih dalam bancian.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir ditempatkan di semua PPS meningkat kepada 722 orang berbanding 647 orang yang direkodkan pada pagi Selasa.

"Daerah terjejas meliputi Hulu Langat dengan satu PPS masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, diikuti Sepang (Dewan Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Komuniti Taman Gemilang, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir, SMK Dengkil); Petaling (Dewan Serbaguna Camelia MBSJ Putra Height) dan Kuala Langat (Dewan Kampung Bukit Changgang, Dewan Dato' Hormat Sri Cheding).

"Angka mangsa banjir dijangka terus meningkat susulan cuaca hujan yang menyebabkan trend kenaikan paras air di Sungai Langat serta sungai-sungai berhampiran lokasi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan, pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan.

Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Mokhzani Mohamed memberitahu PPS SK Semenyih telah ditutup pada jam 9 pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi yang telah membantu menyelaras bantuan sepanjang PPS berkenaan beroperasi.