Program ubat PrEP diperluas kepada 30 klinik tahun depan

Dr Zaliha ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Zaliha ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberian ubat pencegahan penyakit HIV atau program perintis pemberian ubat profilaksis pra pendedahan (PrEP) akan diperluaskan kepada 30 klinik kesihatan pada tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, seramai 2,714 individu yang dilaporkan telah menerima PrEP sehingga 30 September tahun ini.

Ujar beliau, terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis iaitu daripada 11 peratus kepada kurang daripada satu peratus berdasarkan analisis awal sehingga bulan keenam penggunaan PrEP.

“Peratus klien yang tidak menggunakan kondom menurun daripada 6.3 peratus kepada 3.9 peratus manakala peratus klien yang mempunyai ‘multiple sexual partner’ juga menurun daripada 44.5 peratus kepada 36.1 peratus.

“Program PrEP ini telah diperluaskan dari 18 klinik kesihatan ke 21 klinik pada tahun ini, dan seterusnya akan diperluaskan sehingga 30 klinik kesihatan pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pada waktu Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad Yunus meminta penjelasan berhubung status program perintis PrEP sehingga kini dan bila ia akan dilanjutkan ke pusat kesihatan yang lain.

Dalam pada itu, menurut Dr Zaliha, terdapat tiga kes positif HIV iaitu 0.11 peratus kerana ketidakpatuhan pengguna kepada pengambilan PrEP.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ulasnya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal.

“Terdapat 14 klien yang telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

“Hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP

“Untuk makluman, setiap klien yang mengambil PrEP perlu menghadiri kaunseling pengurangan risiko pada setiap janji temu iaitu pada janji temu bulan pertama, bulan ketiga, bulan keenam dan bulan ke-12,” jelasnya.