Kembar seiras teruja terima ijazah, hadiah terindah buat ibu

Kembar seiras bersama ibunya, Siti Fatimah (dua dari kiri) selepas Majlis Konvokesyen UniSZA di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.
Kembar seiras bersama ibunya, Siti Fatimah (dua dari kiri) selepas Majlis Konvokesyen UniSZA di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Tidak pernah berpisah sejak dari dalam kandungan sehingga melanjutkan pengajian di universiti, sepasang kembar seiras teruja meraikan majlis graduasi mereka bersama pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Anis Hafida Zulkhar dan Anis Hafiza Zulkhar yang berusia 23 tahun masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah) dengan Kepujian pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada Selasa.

Menurut Anis Hafida, kejayaan itu merupakan hadiah terindah diberikan kepada ibunya, Siti Fatimah, 59 yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia bersama adik beradik lain.

"Kami seronok apabila dapat naik ke pentas menerima ijazah bersama-sama.

"Masa diploma pun kami naik pentas bersama dan hari ini juga sekali lagi kami diberi peluang yang sama.

“Kami juga memegang satu prinsip ketika berada di menara gading iaitu kami mahu banggakan ibu, adik-beradik serta arwah ayah kerana kami bukanlah daripada keluarga yang senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen UniSZA di sini pada Selasa.

Pasangan kembar yang berasal dari Meru, Perak itu telah kehilangan bapa tercinta mereka ketika berusia tujuh tahun.

Menurut Anis Hafida, impian mereka untuk menjadi pendidik dalam bidang pengajian Islam.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap dapat membantu keluarga.

"Sekarang ini saya dan Anisa Hafiza bekerja separuh masa sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya di Meru dan Klebang," ujarnya.

Sementara itu, ibu kepada pasangan kembar berkenaan, Siti Fatimah berkata, dia berasa bersyukur apabila kedua anak kembarnya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang diminati.

“Sejak kecil mereka sentiasa bersama.

"Sebagai ibu saya mendoakan perjalanan kehidupan mereka selepas ini berjalan dengan lancar dan berjaya dunia dan akhirat,” ujarnya.