Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 2023 milik SMK Meru

A
A
A

[DIKEMAS KINI] SEKOLAH Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) 2023 selepas menewaskan SMK Dato' Harun dalam perlawanan akhir di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Isnin.

Pasukan dari Klang itu muncul juara selepas menewaskan jagoan Tanjung Karang tersebut 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat 1-1.

Separuh masa pertama SMK Meru kendalian Muhammad Nazreen Na'im Mohd Zahari yang tampil dengan status bukan pilihan lebih banyak menguasai permainan berjaya menyaingi juara Piala Sumbangsih tersebut.

Asakan demi asakan menyaksikan SMK Dato' Harun yang tampil dengan status naib juara tahun lalu akhirnya ketinggalan hasil jaringan Nor Ikhwan Norisham pada minit ke-34.

Gol dijelmakan selepas rembatan jauh Nor Ikhwan gagal ditangkap kemas penjaga gol SMK Dato' Harun, Syaqir Rifqie Shaiful Nizam yang beraksi cemerlang sebelum itu.



Jaringan itu menyaksikan pasukan dari Klang tersebut mengakhiri 35 minit separuh masa dengan tambahan dua minit babak pertama kejuaraan yang mendapat tajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan keputusan 1-0.

Separuh masa kedua SMK Dato' Harun, kendalian Mohd Zulfadli Mohamad Ali kembali lebih garang apabila mengasak pasukan dari Klang tersebut.

Percaturan Mohd Zulfadli akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Akif Mohd Razmi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Jaringan penyamaan itu kembali menghidupkan permainan kedua-dua pasukan yang beraksi dalam keadaan hujan renyai hingga tambahan empat minit permainan.

Selaku juara, SMK Meru membawa pulang RM10,000 manakala SMK Dato' Harun pula menerima RM7,000.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, SMK Jalan Kebun, Klang dan SMK Seksyen 11, Shah Alam berkongsi kedudukan ketiga bagi perlawanan penentuan tempat ketiga keempat.

Pertembungan kedua-dua pasukan sebelum itu di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam berlangsung 10 minit sebelum dihentikan berikutan hujan lebat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!