SRAM diminta bentang rancangan untuk ke Sukan Olimpik LA 2028

Gerard - Foto Bernama
Gerard - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) telah diminta membentangkan rancangannya untuk ke Sukan Olimpik di Los Angeles (LA 2028) kepada anggota jawatankuasa Road To Gold (RTG) hujung tahun ini, atau awal tahun depan.

Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, ia termasuk mengenal pasti empat pemain perseorangan lelaki dan empat pemain perseorangan wanita yang berpotensi untuk mewakili negara dalam LA 2028.

Beliau berkata, antara pemain yang dilihat berpotensi ke temasya sukan terbesar dunia itu ialah dua juara Sukan Asia Hangzhou 2022 - Ng Eain Yow (perseorangan lelaki) dan S. Sivasangari (perseorangan wanita) - serta adik beradik Aifa Azman dan Aira.

"Kita akan mengenal pasti empat perseorangan lelaki dan empat pemain perseorangan wanita untuk kita asuh mulai sekarang sehingga Sukan Olimpik 2028.

"Ini bagi memastikan kita mempunyai pengganti sekiranya berlaku sebarang keadaan yang tidak diduga," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama dengan ahli jawatankuasa RTG, bersama dengan wakil Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara di Kuala Lumpur pada Isnin.

Gerard berkata, mereka juga akan berusaha membantu pemain-pemain berpotensi ini mencapai kedudukan dalam kelompok ranking 10 teratas dunia menjelang Sukan Olimpik 2028, sekali gus melayakkan mereka untuk menyertai program RTG.

Eain Yow dan Aifa kini menduduki kedudukan teratas negara masing-masing bagi kategori perseorangan lelaki dan wanita ranking dunia terkini, dengan Eain Yow berada di kedudukan ke-20, manakala Aifa berada di kedudukan ke-25.

Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) April lepas merupakan inisiatif kebangsaan yang bertujuan menyelaras usaha negara untuk memenangi pingat emas pertamanya di Sukan Olimpik, dengan tumpuan pada edisi Paris 2024 dan LA 2028.

Artikel Berkaitan:

Antara atlet yang sudah disenaraikan dalam program RTG ialah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara beregu lelaki badminton dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan atlet terjun Datuk Pandelela Rinong.

Pada 13 Oktober lepas Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan sukan skuasy (acara perseorangan) sebagai salah satu daripada lima sukan tambahan untuk disertakan dalam Sukan Olimpik 2028.

Empat sukan lain yang akan ditampilkan dalam LA 2028 ialah besbol/sofbol, kriket (T20), Flag football (varian bola sepak Amerika) dan lacrosse. - Bernama