Kerajaan teliti hukuman lebih berat kesalahan buang sampah dalam sungai

Nik Nazmi (tiga dari kiri) meneliti peta kawasan Majlis Perbandaran Selayang semasa membuat lawatan bagi meninjau isu pembuangan sampah di Pasar Borong Selayang pada Isnin. - Foto Bernama
Nik Nazmi (tiga dari kiri) meneliti peta kawasan Majlis Perbandaran Selayang semasa membuat lawatan bagi meninjau isu pembuangan sampah di Pasar Borong Selayang pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah ke dalam sungai.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu dibuat bagi menimbulkan rasa gerun kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut kerana ia adalah perkara serius sehingga menyebabkan berlakunya banjir dan pencemaran alam sekitar.

"Kita boleh naik taraf (infrastruktur) sungai dengan berbelanja besar tapi kalau soal bagaimana kita kendalikan sampah itu tidak dapat diatasi, bukan sahaja di peringkat pihak berkuasa tapi juga di peringkat individu atau peniaga, maka kita tidak akan betul-betul mengatasi masalah ini.

"Kita akan bincang soal untuk meningkatkan denda. Ada beberapa akta yang kita sedang dalam proses pinda denda tersebut...," katanya kepada pemberita selepas meninjau pengurusan sampah di sekitar Sungai Jinjang berhampiran Pasar Harian Selayang di sini pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Nik Nazmi juga berkata, sejumlah RM8.2 juta dibelanjakan bagi dua negeri iaitu Selangor dan Kuala Lumpur untuk tujuan penyelenggaraan sampah di dalam sungai bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak RM166,320 dibelanjakan untuk kerja penyelenggaraan sampah di struktur benteng balak di Kolam Takungan Banjir Jinjang dan RM150,000 setahun bagi penyelenggaraan sampah Anak Sungai Udang.

Beliau berkata, terdapat dua sungai utama yang melalui Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang iaitu Sungai Jinjang dan Anak Sungai Udang.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini, saya pergi ke Kolam Takungan Banjir Jinjang... saya lihat antara masalah utama ialah kemasukan sampah dan kos besar yang ditanggung oleh Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan kolam itu dua kali seminggu.

"Kita harapkan kalau kita dapat kurangkan masalah ini maka kita dapat kurangkan kos penyelenggaraan dan wang itu dapat dibelanjakan untuk tujuan lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi masalah banjir,” katanya. - Bernama