Utamakan kuota benih padi sah kepada agensi kerajaan

Kuota bekalan BPS berjumlah 72,000 tan metrik setahun yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu diberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang mempunyai loji pengeluaran benih padi sah. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mahfuz
Kuota bekalan BPS berjumlah 72,000 tan metrik setahun yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu diberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang mempunyai loji pengeluaran benih padi sah. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Kuota bekalan benih padi sah (BPS) berjumlah 72,000 tan metrik setahun yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu diberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang mempunyai loji pengeluaran benih padi sah.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini, empat agensi kerajaan iaitu LPP, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Felcra Plantation dan MADA Corp hanya membekalkan 15,500 metrik tan BPS.

Katanya, keadaan ini menyebabkan kesukaran kepada kerajaan untuk memastikan harga jualan BPS kepada pesawah iaitu pada harga RM40 per 20 kilogram (kg) di kilang dan RM45 kepada peruncit dapat dilaksanakan.

"Kita kesal dalam isu BPS ini, harga jualan yang ditetapkan kerajaan tidak dipatuhi pengeluar swasta, hanya agensi kerajaan yang menjadi pembekal dapat mematuhi harga jualan ditetapkan.

"Pengeluar swasta yang menjadi pembekal menyerahkan BPS kepada ejen yang kemudian menjualnya kepada pesawah pada harga lebih tinggi menyebabkan yang terbeban adalah pesawah terutama di Kedah," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah ini, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras perlu mengambil tindakan ke atas pengeluar swasta dan ejen terbabit.

"Mereka boleh dapatkan senarai nama pembekal terbabit dan buat siasatan melalui penyamaran, bukan hanya menunggu laporan untuk bertindak," katanya.

Hadir sama Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, bagi menyelesaikan masalah BPS pada masa hadapan, adalah wajar kuota bekalannya diberikan kepada agensi kerajaan yang mempunyai loji benih padi.

"Selama ini agensi yang menjadi pembekal BPS tidak mendapat kuota bekalan mengikut kapasiti ditetapkan sedangkan kerajaan sendiri yang mengarahkan pihak terbabit membina dan mengeluarkan benih padi bagi kegunaan pesawah.

"Kuota pengeluaran BPS akan tamat tahun ini, kerajaan akan melantik pembekal baharu tidak lama lagi. Jadi kita minta kerajaan beri keutamaan kepada agensi kerajaan yang telah lama diberikan kuota menyediakan BPS," katanya.

Tegasnya, selama ini, agensi terbabit tidak mendapat kuota mengikut kapasiti penuh pengeluaran kecuali LPP yang diberikan 5,000 tan metrik.

"Saya minta kuota baharu diberikan mengikut kapasiti penuh iaitu KADA (5,000), Felcra Plantation (6,000) dan MADA Corp (12,000)," katanya.