Jalil Hamid enggan raih simpati

Foto Jalil Hamid ketika muncul dalam sebuah program Mac lalu.
Foto Jalil Hamid ketika muncul dalam sebuah program Mac lalu.
A
A
A

SUDAHLAH berdepan dengan masalah kesihatan, kehadirannya dalam industri bagai sudah dilupakan apabila hampir tiga tahun tidak mendapat tawaran kerja.

Begitulah nasib yang dihadapi oleh aktor dan penyanyi, Jalil Hamid kini.

Namun tidak mahu mengemis apatah lagi meratapi nasib, pemilik nama penuh Abdul Jalil Abdul Hamid memilih untuk berdamai dengan takdir.

"Biasalah artis bila sudah berusia 60 tahun ke atas ini, memang tak ada ruang dan sudah dilupakan. Nanti bila dah tak ada (meninggal dunia), baru nak kata kehilangan satu bintang. Bila masih hidup tiada siapa pun hargai, tapi tak mengapalah.

"Bukan minta kita dikenang, biasalah resmi hidup manusia. Saya pun tak suka meminta, nak mengadu pun malu, nanti orang kata kita minta sedekah," ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Jalil, beliau sedar pasti akan ada yang mempertikaikan wang simpanannya sepanjang berlakon, tetapi hakikatnya, pendapatan yang diterima tidak besar mana.

Apatah lagi, komitmen yang perlu dilunaskan memerlukan beliau menjana pendapatan setiap bulan.

"Saya pasti, mesti ada yang pertikaikan mana duit simpanan saya. Walhal setiap kali berlakon, tak dapat banyak mana pun.

Artikel Berkaitan:

"Setiap bulan barang dapur nak dibeli, bil nak dibayar. Saya bukan artis popular yang dapat banyak pendapatan. Lagi pula artis Malaysia ini, makin tua, makin kurang bayaran. Kalau artis luar negara mungkin lebih senang," jelasnya.

Beransur sihat

Berbual lanjut dengan figura berusia 66 tahun itu, Jalil berkata, beliau pernah menjalani pembedahan akibat masalah usus besar awal tahun ini dan tidak lama kemudian dikesan mempunyai masalah jantung.

Akibat masalah usus itu, beliau kehilangan lebih 30 kilogram berat badan dan sekarang menjalani pemeriksaan bulanan di hospital.

"Sekarang alhamdulillah saya semakin beransur sihat, ALLAH masih beri rezeki untuk hidup. Saya masih terikat dengan pemeriksaan bulanan dan tunggu keputusan masalah jantung, sebelum ini mereka maklumkan jantung saya bengkak.

"Selain itu saya sihat, Khamis lalu saya buat pemeriksaan, doktor maklumkan saya tidak ada masalah kesihatan lain," katanya.

Jalil berkata, sekiranya ada tawaran, beliau sedia untuk kembali ke set penggambaran dan tidak betah untuk duduk di rumah lama-lama.

"Susah juga bila tak ada sumber pendapatan. Perbelanjaan, bil tak boleh rehat macam kita. Semua itu perlukan duit untuk dibayar.

"Saya pula tak suka susahkan anak-anak, kos sara hidup sekarang tinggi, mereka juga ada komitmen dan tanggungjawab pada keluarga mereka," ujarnya.