Pesara tentera raih rezeki hasil lepak dengan tukang kasut

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TANAH MERAH - Siapa sangka bermula dengan sekadar melepak menemani rakannya membaiki kasut di kaki lima, mencetus minat Kamaruzaman Mat Zin untuk belajar kemahiran itu sebagai sumber pendapatan selepas bersara daripada Angkatan Tentera.

Koperal (B) Kamaruzaman, 50, berkata, dia memperoleh kemahiran itu ketika berkhidmat di Perak dengan permulaan hanya 'lepak-lepak' bersama rakannya yang merupakan tukang kasut.

"Ketika masih berkhidmat saya aktif dalam sukan bola sepak, disebabkan itu saya ada ramai kenalan dalam kalangan pemain.

"Di situlah tercetus idea untuk mempelajari kemahiran membaiki dan menjahit kasut kerana saya lihat kemahiran ini boleh menjadi pendapatan selepas bersara," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di bandar Tanah Merah di sini hari ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada lima anak itu berkata, pendedahan semasa melihat cara membaiki dan menjahit kasut menimbulkan rasa minat, sekali gus dengan membantu rakan menyebabkan dia mempelajari kemahiran berkenaan.

Kamaruzaman berkata, selepas bersara pada usia 45 tahun, dia terus membuka kedai membaiki kasut dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya bersyukur atas rezeki dikurniakan kesihatan (yang baik), masih aktif bermain bola sepak selain dapat menambahkan lagi kenalan yang memberi peluang untuk saya menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

"Tidak sangka rezeki hanya belajar membaiki kasut di kaki lima boleh dibawa sampai bersara, malah menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga hingga sekarang," katanya yang berkhidmat di kem terakhir di Kem Batu 11, Tanah Merah.

Menurutnya kadar caj yang dikenakan bagi menjahit kasut atau selipar bermula RM3 sehingga RM80 bergantung kepada jenis kasut dan kaedah jahitan.

"Alhamdulillah sehari saya memperoleh pendapatan lebih RM100 dengan waktu operasi kedai 10 pagi sehingga 6.30 petang," katanya. - Bernama